Bukit Aman ambil masa 3 jam rekod keterangan Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merekod keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Bukit Aman, malam tadi, kira-kira 3 jam berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, keterangan menteri terbabit dirakam bersama beberapa saksi lain.

"Proses merekod keterangan bermula jam 8.30 malam sebelum beliau (Mohd Khairuddin) keluar kira-kira jam 11.30 malam dari Bukit Aman.

"Selain Mohd Khairuddin, beberapa saksi lain turut direkod keterangan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairuddin hadir ke Bukit Aman malam ini

Kes Mohd Khairuddin sepatutnya tidak lagi jadi isu: Pas

Isu Mohd Khairuddin hangatkan Dewan Rakyat

Pada awalnya Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilaporkan dipanggil ke Bukit Aman, petang kelmarin sebelum lokasi ditukar ke Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, proses berkenaan itu ditangguhkan sehingga malam tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Susulan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.