SPR tunggu pemakluman rasmi pembubaran DUN Sarawak

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN Sarawak.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tarikh mesyuarat itu belum ditentukan dan akan dimaklumkan kemudian.
"Seboleh-bolehnya kita akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak sebelum menentukan tarikh-tarikh berkaitan, dengan mengambil kira pelbagai faktor bagi memastikan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya kepada Bernama.
Mengulas tentang kesiapsiagaan SPR, beliau berkata persediaan awal meliputi aspek logistik, bekalan peralatan, latihan petugas pilihan raya serta pengenalpastian lokasi yang sesuai dijadikan pusat mengundi.
"Dari segi logistik, latihan dan petugas-petugas, insya-ALLAH kita bersedia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan penggunaan teknologi Optical Character Recognition-Voters Attendance (OCR-VA) pada PRN Sarawak akan dikemukakan kepada ahli SPR untuk penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat.
Terdahulu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam sidang media khas pada Jumaat mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa Isnin, 26 Oktober bagi memberikan laluan kepada PRN13.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
