TuJu mohon maaf, jangka aplikasi pulih awal November

SHAH ALAM - TuJu memohon maaf kepada pengguna yang berdepan gangguan pada fungsi platform sejak beberapa hari lalu.
Pihak pengurusan aplikasi navigasi tempatan itu dalam kenyataan berkata, pasukan teknikal aplikasi itu sedang melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan yang disasarkan selesai selewat-lewatnya pada 6 November depan.
Menurutnya, sebarang perkembangan dari segi kerja-kerja pemulihan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TuJu.
"Ketika ini, fungsi lain dalam aplikasi kekal boleh digunakan seperti biasa.
"TuJu berterima kasih atas kesabaran serta sokongan pengguna. Setiap laporan dan maklum balas membantu kami mengenal pasti masalah serta melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.
"Kami akan terus berusaha memenuhi harapan pengguna agar TuJu menjadi antara aplikasi navigasi terbaik yang mengutamakan keselamatan data rakyat Malaysia," katanya pada Jumaat.
TuJu mencatatkan lebih 700,000 muat turun setakat Khamis.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dr Mohammed Ridzuan Jahidin memberitahu, aplikasi yang dibangunkan bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd itu menawarkan pelbagai fungsi unik dan praktikal khusus untuk pengguna jalan raya di negara ini.
Jelas beliau, antara keistimewaan TuJu ialah integrasi sistem kamera litar tertutup secara penstriman langsung, membolehkan pengguna memantau sendiri aliran trafik di lebuh raya secara masa nyata.
Terdahulu, kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan di Israel iaitu Waze serta-merta.
Menerusi pemakluman rasmi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
