Mukhriz akui anak, menantu ditahan di pub

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

TANJUNG MALIM - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan anak perempuan dan menantunya antara 29 individu yang ditahan di sebuah pub kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, kedua-dua mereka dikenakan kompaun RM1,000 dan telah pun menjelaskan bayaran berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

"Memang benar bahawa anak dan menantu saya telah dibawa ke balai bersama 27 yang lain atas kesalahan melanggar arahan PKPP ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya polis Kuala Lumpur kerana bersikap tegas, telus, adil dan saksama, tidak ada sebarang unsur pengurangan dari segi kompaun.

"Kalau hari itu beri diskaun, silap-silap saya dan Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) dituduh mencampuri urusan polis atau meminta ihsan untuk beri keistimewaan kepada anak dan menantu saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bagaimanapun, enggan melayan kenyataan dan tuduhan pihak luar berkaitan kes itu kerana disifatkan hanya menambah cerita.

"Faham sajalah puak-puak ini, kadang-kadang 3+4 boleh jadi 12, yang jelas mengikut kenyataan rasmi dikeluarkan polis menyatakan ada pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) PKPP, itu sahaja," katanya.

Semalam polis mengesahkan seorang anak kenamaan (VIP) antara 29 pengunjung yang ditahan di sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Dalam serbuan jam 1.20 pagi pada 22 Ogos itu, seramai 20 lelaki dan sembilan wanita ditahan kerana berada di premis tersebut yang beroperasi melebihi had masa dibenarkan dalam tempoh PKPP.

Mengulas lanjut, Mukhriz mengakui kecewa dengan insiden itu, namun dalam masa sama berbangga dengan keupayaan polis untuk menguatkuasakan undang-undang negara tanpa memilih kasih.

"Saya dah pesan kepada keluarga saya pada musim PKPP ini janganlah langgar, mesti tunjuk contoh yang baik tetapi berlaku juga.

"Kita dah beri teguran dan memang patutlah mereka kena kompaun itu," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, isu berkenaan sama sekali tidak menjejaskan siri terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini yang memperlihatkan calon Bebas mewakili Pejuang bertanding.

"Saya kira ia tidak ada mengena. Kalau nak ikut kesan, banyak lagi isu-isu di luar sana yang mungkin boleh beri kesan dan menjejaskan peluang calon Barisan Nasional (BN), tapi kita tak nak lah kaitkan," katanya.

Terdahulu, beliau bersama Dr Mahathir hadir pada Program Sepetang di Felda Gunung Besout 3 di sini yang turut dihadiri calon Bebas mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.