Apek optimis kecergasan Melaka United pada tahap terbaik

Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
Foto: Melaka United Soccer Association - MUSA
A
A
A

PENJAGA gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat optimis skuad Hang Tuah dapat mengembalikan prestasi dan kecergasan di tahap terbaik secepat mungkin walaupun lebih lima bulan tanpa pertandingan kompetitif susulan penangguhan CIMB Liga Super akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khairul Fahmi yang dikenali dengan panggilan 'Apek' itu berkata, fokus utama kini diberikan kepada aksi berdepan Perak di Ipoh, Jumaat ini dan segala persiapan berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

Kata pemain berusia 31 tahun itu, Melaka United juga mahu mengekalkan momentum kemenangan daripada tiga perlawanan persahabatan yang dihadapi baru-baru ini, dalam misi memburu mata untuk memperbaiki kedudukan.

“Mungkin mengambil masa untuk membentuk keserasian dalam pasukan. Jika dibandingkan cuti pra-musim hanya rehat sebulan, tapi kali ini tiga bulan tidak berlatih bersama, namun kami akan berusaha gigih untuk dapatkan prestasi dan tahap kecergasan seperti sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, tunggak pertahanan Melaka United, Mohd Razman Roslan berkata, dengan masa beberapa hari yang tinggal sebelum berhadapan aksi penting itu, beliau dan rakan sepasukan akan memperbaiki kelemahan yang ada.

Bekas pemain Pahang dan Selangor itu berkata, mereka akan memberikan komitmen tinggi serta persembahan terbaik dalam perlawanan tersebut, bagi meraih keputusan positif kepada pasukan.

“Selama tiga bulan kita tidak dapat berlatih, tetapi apabila kami kembali turun ke padang hubungan dengan rakan-rakan lebih akrab, oleh itu saya berharap kami dapat menterjemahkan keserasian dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 sebelum ini ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat penularan Covid-19, dan disambung semula bermula 28 Ogos ini dan akan berlangsung tanpa penonton bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Melaka United menghuni tangga ke-11 liga daripada 12 pasukan, dengan tiga mata selepas dikenakan hukuman pemotongan tiga mata, apabila gagal membayar baki tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.- Bernama