Armada mahu sekolah vernakular dimansuhkan

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa sekolah vernakular perlu dimansuhkan secara berperingkat.

Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi.

"Armada tidak menolak rencam masyarakat, malah meraikan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia kerana inilah keunikan dan kekuatan kita.

"Namun berbeza-beza biarlah satu! Maka, di samping mendukung untuk mengasaskan Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Tamil sebagai subjek utama di sekolah kebangsaan di Malaysia, pun begitu perlu jelas bahawa bahasa Melayu adalah tali pengikat perpaduan selaras perlembagaan.

"Bercakap soal penghayatan Rukun Negara, terangan terasnya adalah 'Keluhuran Perlembagaan'. Bagaimana boleh pernyataan terkait Rukun Negara pula menolak perihal mendaulahkan antara perkara dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 152?," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam, Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

Kenyataan itu mendapat reaksi negatif terutama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mendukung hanya sekolah satu aliran sahaja diwujudkan di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, pihaknya menolak kenyataan itu yang tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pendidikan 1961 telah memansuhkan kuasa budi bicara Menteri Pendidikan untuk menutup sekolah vernakular pada bila-bila masa, sekolah vernakular jelas mendapat persepsi negatif rakyat apabila rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang mampu memperlihatkan jati diri nasional yang kental.

"Selain itu, terdapat banyak pandangan bahawa penubuhannya kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Pendukungan simbol dan pengamalan sosiobudaya teras kebangsaan selaras dengan Kontrak Sosial antara lainnya menuntut penguasaan bahasa Melayu yang merupakan 'bahasa kebangsaan' kita," katanya.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, pemerhatian cendekiawan nasional menunjukkan ramai lepasan sekolah vernakular hanya mampu memperlihat penguasaan bahasa ibunda masing-masing.

"Jati diri kebangsaan secara unggul juga memerlukan bukan sahaja kefasihan malah penguasaan bahasa kebangsaan dengan baik.

"Rata-rata pelajar sekolah vernakular pula hanya mampu mempamerkan jati diri 'etnik tertentu' mengikut aliran persekolahan yang dipisah dan terpisah berdasarkan jalur etnisiti.

"Maka jika dinilai, rata-rata mereka kelihatan tidak nasional atau tidak mencerminkan citra kebangsaan dalam tekad mencapai integrasi nasional," katanya.