Rumah Transit Kedah belum dapat kelulusan beroperasi

Halimaton Shaadiah (kiri) bertanya khabar ADUN Bandar Baharu, Norsabrina Mohd Noor (tengah) dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob (kanan) sebelum persidangan bermula.
Halimaton Shaadiah (kiri) bertanya khabar ADUN Bandar Baharu, Norsabrina Mohd Noor (tengah) dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob (kanan) sebelum persidangan bermula.
A
A
A

ALOR SETAR - Rumah Transit Negeri Kedah (RTNK) di Taman Pulasan yang akan berperanan sebagai rumah perlindungan kepada gelandangan, pengemis, kanak-kanak jalanan, mangsa keganasan rumah tangga serta kutu rayau belum dapat beroperasi sepenuhnya.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, RTNK dirasmikan Januari lalu namun sehingga kini belum menerima penghuni susulan ketiadaan surat kelulusan pengoperasian.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat berkaitan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, namun belum menerima maklum balas berhubung perkara itu.

“Kita tidak boleh menerima penghuni selagi tiada kelulusan pengoperasian yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Pusat Jagaan. Persiapan memang sudah ada cuma operasi belum dibenarkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Salmee Said (Amanah-Kota Siputeh) berhubung bilakah RTNK akan beroperasi.

Halimaton Shaadiah berkata, tempoh intervensi di RTNK selama dua minggu bagi setiap penghuni dan mereka akan dibantu untuk berdikari atau ditempatkan di institusi pemulihan.

“Penghuni dibenarkan ialah maksimum seramai 20 orang pada satu masa. Sebelum ini, RTNK beroperasi di bangunan lama di Jalan Kota Tanah Alor Setar dengan 38 kes pada tahun 2018,” katanya.

Menurutnya, selain RTNK itu sebuah lagi lokasi selamat ialah di Taman Sinar Harapan, Jitra.

Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Anak Bukit) turut kesal apabila kemudahan itu tidak dimanfaatkan dan terpaksa menunggu lapan bulan semata-mata untuk mendapatkan kebenaran beroperasi.

Artikel Berkaitan:

“Rasmi awal tahun, sekarang penghujung Ogos pun belum operasi. Hanya disebabkan menunggu surat kebenaran menteri, ini merugikan diharap dapat beri perhatian segera,” katanya.

Sementara itu, Halimaton Shaadiah memberi jaminan akan segera mempercepatkan operasi RTNK dalam masa terdekat.

“Perkara itu masih dalam proses. Namun kita tidak sia-siakan kemudahan kerana pelbagai program diadakan di rumah tersebut kecuali kita perlu terlebih dahulu gazetkan rumah itu kerana ia dikategorikan sebagai kawasan selamat sebelum menerima penghuni,” katanya.