Tiada alasan benarkan keganasan fizikal terhadap kanak-kanak

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam pada Selasa menegaskan tiada alasan untuk membenarkan keganasan fizikal atau mental terhadap kanak-kanak.

Justeru, isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu bertitah, jenayah berkenaan harus ditangani menerusi segala kaedah mengikut undang-undang serta penguatkuasaan yang ditetapkan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Che’ Puan Besar Khaleeda bertitah sebagai komuniti yang prihatin, masyarakat perlu bersama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan memberikan mereka masa depan yang lebih baik dan cerah.

"Saya mengambil maklum tentang kes penderaan dua orang kanak-kanak membabitkan seorang pengasuh di Skudai, Johor. Saya hargai usaha anda semua yang berkongsi video penderaan itu di media sosial sehingga sampai ke perhatian saya.

"Berulang kali saya tegaskan bahawa penderaan kanak-kanak merupakan satu jenayah berat yang perlu diambil serius oleh semua pihak.

"Kanak-kanak adalah aset terbesar negara dan perlu dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh membahayakan keselamatan serta kesejahteraan mereka,” titah baginda.

Sebelum itu, tular dua video yang memaparkan seorang wanita dipercayai pengasuh di sebuah taska di Skudai mengasari seorang bayi.

Susulan itu, seorang wanita berusia 21 tahun direman selama empat hari mulai hari ini. - Bernama