Perkhidmatan feri di Pulau Pinang dijangka pulih Khamis ini

Perkhidmatan feri di Pulau Pinang, Rapid Ferry, yang tergendala berikutan masalah teknikal pada enjin sejak semalam dijangka pulih dalam masa tiga hari. Foto: Bernama
Perkhidmatan feri di Pulau Pinang, Rapid Ferry, yang tergendala berikutan masalah teknikal pada enjin sejak semalam dijangka pulih dalam masa tiga hari. Foto: Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan feri di Pulau Pinang, Rapid Ferry, yang tergendala berikutan masalah teknikal pada enjin sejak semalam dijangka pulih dalam masa tiga hari.

Rapid Ferry dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi menjelaskan masalah teknikal enjin bagi dua buah feri iaitu Pulau Angsa dan Pulau Undan dikenal pasti pada jam1.30 pagi Isnin ketika penyelenggaraan dan baik pulih rutin dijalankan.

Menurut Rapid Ferry, feri Pulau Angsa berjaya dibaik pulih dan kembali beroperasi jam 6 pagi ini dan penumpang boleh kembali menaiki feri dengan kekerapan setiap 40 minit.

Katanya, perkhidmatan alternatif sebanyak lima buah bas dikekalkan bagi membantu melancarkan perjalanan terutama di waktu puncak.

Bagaimanapun, feri Pulau Undan yang memerlukan alat ganti khusus, dijangka pulih Khamis ini.

“Pihak kami akan mencuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses ini, " menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Rapid Ferry memaklumkan bahawa perkhidmatan feri Pulau Talang dan Pulau Kapas diberhentikan sementara kira-kira sebulan lepas kerana memerlukan penyelenggaraan enjin dan baik pulih yang serius.

"Proses ini mungkin mengambil masa lebih kurang enam minggu kerana alat ganti khusus perlu ditempah dari Sweden dan Ireland.

Artikel Berkaitan:

“Pihak Rapid Ferry memohon maaf kepada semua para penumpang atas segala kesulitan. Sebarang pertanyaan sila hubungi Rapid Ferry di laman Facebook @rapid ferry," menurut kenyataan itu. - Bernama