Pengusaha ladang limau pemenang RM1j BSN SSP 2018

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan jutawan terakhir bagi kempen Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) 2018, ‘Pencarian Diteruskan! 12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan’.

Dalam kenyataan hari ini, BSN menamakan pengusaha ladang limau dari Terengganu, Yahaya Abdullah sebagai pemenang RM1 juta melalui Cabutan Istimewa BSN SSP Disember 2018 sekali gus mengakhiri pencarian jutawan ke-12 bagi kempen 2018.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata BSN SSP terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila jumlah penyimpan di seluruh Malaysia melebihi 3.27 juta dengan nilai simpanan lebih RM3.39 bilion bagi tempoh sehingga Disember 2018.

Beliau berkata pihaknya terus menggalakkan orang ramai menyimpan dengan memperkenalkan cabutan baharu dengan nilai ganjaran lebih lumayan khususnya untuk para penyimpan BSN SSP tahun ini.

“Ini juga bermakna, lebih banyak peluang dan lebih banyak ganjaran yang boleh dinikmati oleh orang ramai di luar sana. Untuk makluman, tahun ini BSN menawarkan 7,384 jumlah hadiah bernilai RM21.96 juta berbanding jumlah keseluruhan hadiah pada 2018 bernilai RM20 juta,” katanya dalam kenyataan itu.

BSN hari ini juga mengumumkan pemenang Cabutan Bulanan BSN SSP dengan hadiah kereta BMW X5, ialah Azizon Samsudin dari Perak, pemenang hadiah utama Cabutan Remaja BSN SSP ialah Muhammad Haiqal Aiman Idrus, Jasmine Eleena Chee Eugene dan Nur Izzatun Nadia Saiful Bahri yang telah meraih BSN SSP RM10,000 setiap seorang.

Pada tahun ini, BSN berkata ia masih menawarkan simpanan tunai BSN SSP RM1 juta sebagai ganjaran untuk pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP bagi hadiah bulanan dari Januari hingga November 2019.

Manakala bagi Disember 2019, jumlah ganjaran akan meningkat dua kali ganda menjadikan jumlah ganjaran bagi bulan itu adalah RM2 juta, yang diperkenalkan buat julung kalinya tahun ini, menurut BSN.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, orang ramai berpeluang mendapatkan kadar keuntungan menarik melalui BSN SSP Special Edition.

“Selain berpeluang memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan setiap bulan, para penyimpan BSN SSP turut berpeluang memperolehi kadar keuntungan sehingga 2.5 peratus. Kempen bermula dari 15 Dis, 2018 sehingga 31 Mac, 2019,” menurut BSN. - Bernama