Kesihatan Mufti Perak bertambah baik

Mohd Akmal bertanyakan sesuatu kepada Dr Zakaria mengenai perkembangan Harussani selepas media khas mengenai perkembangan terkini Harussani di KPJ Ipoh Specialist Hospital, di sini hari ini.
Mohd Akmal bertanyakan sesuatu kepada Dr Zakaria mengenai perkembangan Harussani selepas media khas mengenai perkembangan terkini Harussani di KPJ Ipoh Specialist Hospital, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kesihatan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang diserang strok semalam bertambah baik.

Pakar Perubatan dan Neurologi KPJ Ipoh Specialist Hospital, Datuk Dr Zakaria A Kadir berkata, Harussani sudah mula memberikan respon yang baik selepas rawatan diberikan.

Menurutnya, keadaan beliau ketika dimasukkan ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) jam 9 pagi semalam agak lemah dan sebahagian anggota badan sebelah kanannya tidak dapat bergerak.

"Keadaannya agak teruk semalam tetapi beransur baik dan hingga hari ini nampaknya Tan Sri (Harussani) bertambah responsif. (Harussani) Boleh juga respon pada soalan mudah dan boleh juga bercakap beberapa perkataan dan ada reaksi emosinya.

"Beliau stabil dan bertambah baik daripada semalam," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas mengenai perkembangan terkini Harussani di KPJ Ipoh Specialist Hospital, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Exco Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Dalam pada itu, Dr Zakaria berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan Harussani dari masa ke masa dan mungkin memerlukan dua hingga tiga hari di wad ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, semua masjid di negeri ini diminta mengadakan solat sunat hajat dan bacaan Yasin selain terus berdoa untuk kesejahteraan dan kesihatan Harussani.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau dan Mohd Yusop menziarahi Harussani di hospital berkenaan.

Semalam, Harussani dikejarkan ke hospital selepas mengalami strok di rumahnya selepas solat Subuh.

Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN Doakan Mufti Perak cepat sembuh