Aaron-Wooi Yik bertambah baik, agresif

Aaron-Wooi Yik mempamerkan peningkatan ketara dalam Terbuka Indonesia. - Foto AFP
Aaron-Wooi Yik mempamerkan peningkatan ketara dalam Terbuka Indonesia. - Foto AFP
A
A
A

PERUBAHAN ketara dipamerkan oleh beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam beberapa kejohanan sebelum ini disifatkan sebagai sesuatu yang positif.

Malah, pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky mengakui gembira dengan perkembangan itu dan percaya Aaron-Wooi Yik semakin mengakhiri kemarau kejuaraan terbuka pertama mereka

“Permainan Aaron-Wooi Yik bertambah baik sejak dari Terbuka Singapura, manakala dalam Terbuka Indonesia, kita dapat lihat mereka agak agresif.

“Ini adalah petanda positif apabila mereka lebih konsisten berdepan pasangan teratas. Mereka mungkin kalah (Ahad) tetapi saya percaya kemenangan itu tidak jauh,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik mengakhiri kempen Terbuka Indonesia dengan gelaran naib juara selepas tewas dalam perlawanan akhir di Stadium Istora, Senayan pada Ahad.

Aaron-Wooi Yik tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-17, 21-18, sekali gus menjadi kekalahan pertama dalam sembilan pertemuan sebelum ini.

Dalam pada itu, Rexy menegaskan tumpuan terhadap gandingan ranking ketiga dunia itu kini adalah untuk meningkatkan kekuatan individu masing-masing.

“Kami perlu bantu mereka mencari jalan untuk mengubah perlawanan ketika kedua-duanya berada di bawah tekanan.

“Kedua-duanya mesti sama baik dalam serangan dan pertahanan dan aspek lain seperti servis, permainan gelanggang hadapan dan kemahiran dan taktik lain.

“Mereka telah menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini dan kami perlu meneruskannya momentum ini,” katanya.

Sementara itu, Rexy memaklumkan Aaron-Wooi Yik akan dipersiapkan untuk mengharungi tiga kejohanan dalam masa terdekat selepas Terbuka Indonesia.

“Tumpuan selepas ini adalah Terbuka Korea, Terbuka Jepun diikuti Terbuka Australia,” katanya.

Ditanya mengenai pendekatan diambilnya dalam memastikan Aaron-Wooi Yik berada tahap kecergasan terbaik dan mengelak risiko kecederaan Rexy berkata, “Saya sering mengingatkan mereka untuk mendapatkan rehat yang cukup.

“Selain itu, mereka perlu amalkan permakaman yang bergizi dan banyakan lakukan regangan fizikal," ujarnya