JCorp lahirkan 600 mutawif sejak 2006

Yahya (dua, kanan) menyampaikan sijil mutawif kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan Jamaludin (dua, kiri).
Yahya (dua, kanan) menyampaikan sijil mutawif kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan Jamaludin (dua, kiri).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor Corporation (JCorp) menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WanCorp) dan Akademi Mutawwif Sdn Bhd memberi pentauliahan kepada 600 mutawif profesional yang berkhidmat dengan pelbagai agensi pengendali haji dan umrah seluruh negara sejak 2006.

Naib Presiden Kanan Divisyen Tanggungjawab Korporat JCorp, Jamaludin Md Ali berkata, ia menerusi 74 siri kursus diadakan di seluruh negara setelah berjaya memenuhi syarat-syarat pentauliahan yang ditetapkan.

Para peserta Majlis Pensijilan Mutawif 2019.
Para peserta Majlis Pensijilan Mutawif 2019.

Menurutnya, pihaknya amat komited melahirkan mutawif dan mutawifah yang berpengetahuan ilmu agama selain menjadikannya sebagai cabang keusahawanan dan perniagaan.

“Sejak penubuhannya, Akademi Mutawwif Sdn Bhd telah memainkan peranan yang aktif sebagai salah sebuah syarikat di dalam JCorp yang bertanggungjawab membentuk serta melahirkan modal insan bersifat holistik.

“Modul latihan disediakan bersifat komprehensif dan syumul menerusi kursus yang ditawarkan kepada bakal mutawif bagi memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi situasi sebenar terutama dalam pengendalian urusan jemaah haji dan umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pensijilan Mutawif 2019 yang dirasmikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan melibatkan seramai 54 mutawif dan mutawifah baharu.

Jamaludin berkata, JCorp berhasrat melahirkan para mutawif yang bukan sahaja berpengetahuan dalam ilmu agama, malah menjadikan bidang ini sebagai keusahawanan dan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Ertinya dalam usaha meraih keredaan Allah dan ganjaran pahala dengan menjalankan tugas sebagai mutawif haji dan umrah, para mutawif juga berpeluang menambah pendapatan dengan sumber rezeki yang bersifat halalan tayyiba iaitu bukan sahaja halal, tetapi baik sumbernya,” katanya.

Muhammad Asyraaf Syed
Muhammad Asyraaf Syed

Sementara itu, salah seorang peserta, Muhammad Asyraaf Syed, 19, berkata, usia dua bukan penghalang untuk menjadi mutawif sekali gus membantu jemaah umrah menunaikan ibadah.

“Sudah lama saya mahu berkecimpung dalam bidang ini kerana minat yang mendalam untuk bergelar mutawif. Pada saya walaupun mungkin selepas ini membantu menguruskan jemaah yang lebih berusia dari saya, itu tidak menjadi halangan sebaliknya saya anggap sebagai cabaran.

“Oleh itu, dari semasa ke semasa saya mahu tambah lagi ilmu dan ikuti pelbagai kursus lain seumpama ini untuk memantapkan pengetahuan dan pengalaman,” katanya yang bekerja sebagai kerani.