Perselisihan faham punca gaduh

Rakaman pergaduhan sekumpulan lelaki di Dataran Merdeka malam tadi tular di laman sosial
Rakaman pergaduhan sekumpulan lelaki di Dataran Merdeka malam tadi tular di laman sosial
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perselisihan faham antara beberapa individu bermotorsikal dipercayai menjadi punca pergaduhan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan mengenai pergaduhan itu pada jam1.29 pagi.

"Pergaduhan itu membabitkan beberapa individu di lokasi berkenaan dengan bersenjatakan topi keledar," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, pasukan polis peronda (MPV) dan pasukan Operasi Cantas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi digerakkan ke lokasi.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, kita mendapati tiada lagi pergaduhan berlaku," katanya.

Mohd Fahmi berkata, pergaduhan itu dipercayai tidak melibatkan elemen kongsi gelap atau gengsterisme.

"Setakat ini, tiada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian itu.

"Namun satu laporan polis dibuat oleh Petugas Pusat Kawalan Polis Dang Wangi. Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata di tempat awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, video berdurasi 14 saat menunjukkan beberapa individu bergaduh dengan bersenjatakan topi keledar di Dataran Merdeka, tular di media sosial sejak malam tadi.