Lelaki sesat di Hutan Bukit Pelindung ditemui selamat

Mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat dibawa ke HTAA untuk pemeriksaan. Foto: JBPM
Mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat dibawa ke HTAA untuk pemeriksaan. Foto: JBPM
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki yang dilaporkan tersesat ketika beriadah di kawasan Hutan Bukit Pelindung di sini sejak malam tadi ditemui selamat pagi tadi.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditemui di kawasan Teluk Tongkang kira-kira jam 10 pagi selepas berjaya menemui jalan keluar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Kamerul Bieza Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.36 malam tadi sebelum menggerakkan anggota untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, operasi mengesan mangsa turut disertai pelbagai agensi termasuk anggota polis, anggota Unit Amal, rakan serta ahli keluarga.

“Operasi pada malam tadi ditamatkan sekitar jam 2 pagi selepas lelaki itu gagal ditemui dan ia diteruskan pagi ini melibatkan 30 kekuatan.

“Allhamdulillah, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas menemui jalan keluar dan dihantar ke Hospital tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kamerul Bieza berkata, difahamkan mangsa bersama seorang rakan datang ke kawasan itu untuk beriadah sebelum terpisah.

“Rakannya yang keluar lebih awal menunggu mangsa hingga malam namun lelaki itu gagal muncul sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat.

Artikel Berkaitan:

“Difahamkan ketika kejadian mangsa tidak membawa telefon menyebabkan rakan dan pasukan penyelamat gagal menghubunginya,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan lebih peka dan mengutamakan aspek keselamatan ketika beriadah di kawasan itu atau mana-mana hutan yang lain.

“Elakkan melakukan aktiviti mendaki dan sebagainya bersendirian dan jika berkumpulan, pastikan tidak berpecah sebaliknya terus kekal dengan ahli kumpulan hingga keluar.

“Pada masa sama, pastikan masa yang lebih sesuai dan jangan keluar terlalu lewat bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk tersesat dan sebagainya,” katanya.