'Kami bukan pengkhianat, tapi penyelamat'

Beberapa pemimpin BN mengambil kesempatan bergambar dengan Hamzah (tiga dari kanan) selepas tamat program Ceramah Bersama 5 Setiausaha Agung di Dewan Serbaguna Felda Trolak Utara, Sungkai, di sini.
Beberapa pemimpin BN mengambil kesempatan bergambar dengan Hamzah (tiga dari kanan) selepas tamat program Ceramah Bersama 5 Setiausaha Agung di Dewan Serbaguna Felda Trolak Utara, Sungkai, di sini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pemimpin bertindak keluar parti tidak harus digelar sebagai pengkhianat sebaliknya mereka adalah penyelamat.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan mereka keluar parti merupakan satu pengorbanan yang membolehkan parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

Menurutnya, kuasa itu penting dalam menentukan masa depan agama, bangsa dan negara selain memperjuangkan nasib rakyat.

"Orang yang berkorban itu seharusnya kita panggil penyelamat untuk meneruskan kuasa, bukan pengkhianat tetapi penyelamat. Jadi kalau kita dah bersama perlulah untuk sama-sama ikhlas, sama-sama jujur dan jangan ada perasaan curiga antara satu sama lain.

"Hari ini, sebagai Setiausaha Agung Bersatu, Bersatu telah bersetuju untuk bersama menyertai Muafakat Nasional gabungan yang akan menentukan masa depan kita. Ini jemputan daripada BN dan Pas. Terima kasih banyak," katanya ketika berucap pada program Ceramah Bersama 5 Setiausaha Agung di Dewan Serbaguna Felda Trolak Utara, Sungkai, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung MIC, Datuk M Asojan.

Sementara itu, Hamzah berkata, jemputan menyertai MN itu diterima kerana Bersatu menyedari bahawa UMNO dan Pas benar-benar ikhlas untuk membentuk penyatuan tersebut.

Katanya, MN akan menentukan kejayaan tiga parti itu bukan hanya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini tetapi dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak maklumkan calon yang menentang calon BN adalah bekas ahli Bersatu yang bertanding di Teluk Intan, nak jadi ketua bahagian tapi kalah. Saya nak maklumkan kalau dalam pemilihan parti bertanding pun kalah, inikan pula nak bertanding pilihan raya di kawasan Slim ini yang akan kita bantu untuk kemenangan lebih besar.

"Kita buktikan di DUN Slim ini, kita berikan kemenangan yang besar supaya mereka tahu bahawa kerajaan hari ini adalah yang sebenarnya diminta oleh rakyat," katanya.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Hamzah yang mewakili BN menang di kawasan Parlimen Larut sebelum menyertai Bersatu pada 12 Februari 2019.