Bersatu sedia pinda Perlembagaan benarkan penyertaan kaum lain

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan mengibarkan Jalur Gemilang sejurus selepas berakhirnya amanat Perdana Menteri pada Kongres Negara bertemakan 'Bersatu Untuk Malaysia' di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan mengibarkan Jalur Gemilang sejurus selepas berakhirnya amanat Perdana Menteri pada Kongres Negara bertemakan 'Bersatu Untuk Malaysia' di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia meminda Perlembagaan parti bagi membolehkan penyertaan kaum lain termasuk memegang jawatan dalam parti itu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan jawatankuasa khas diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim untuk dipersetujui bersama di peringkat MPT.

"Walaupun Bersatu terbentuk untuk menggerakkan orang-orang Melayu Islam untuk mara ke depan membantu majukan negara, namun sejak awal kita sudah ada peruntukan yang membolehkan bukan Melayu dan Islam sertai gerakan politik kita ini iaitu ahli bersekutu.

"Dalam mesyuarat MPT Bersatu yang lalu, saya telah bawa usul untuk membolehkan ahli-ahli bersekutu sama-sama menyumbang, bukan setakat menjadi ahli biasa bersekutu tapi berperanan memberikan idea dan pandangan dan terlibat bersama-sama dalam kepimpinan iaitu cadangan untuk bentuk 'chapter' baharu dalam Bersatu.

"Ini membolehkan ahli-ahli bersekutu yang menyertainya, bersama-sama memegang jawatan dalam parti dan menyumbang idea untuk memajukan parti dan negara," katanya ketika berucap pada Kongres Negara 'Bersatu untuk Malaysia' di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Jelas beliau, satu perhimpunan agung luar biasa akan diadakan sekiranya cadangan tersebut telah dipersetujui bersama di peringkat MPT.

"Kalau diterima Insya-ALLAH kita akan adakan satu perhimpunan agung luar biasa untuk meminda Perlembagaan Bersatu supaya boleh bentuk 'chapter' ini.

"Jadi kita akan bersama-sama dalam satu saf... kerana di hadapan kita ini cabarannya lebih besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu beliau menyerahkan kad keahlian Bersatu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai simbolik penyertaan secara rasmi bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan kemnya menyertai Bersatu.

Mohamed Azmin turut mengisytiharkan penyertaan bersama lebih 200,000 ahli-ahli Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara dalam Bersatu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu akan mempercepatkan proses pendaftaran ahli-ahli baharu.

"Saya rasa cukup bangga dan terhormat menyertai sebuah politik yang baru empat tahun ditubuhkan.

"Tapi kita perlu sedar untuk mara ke depan kita mesti bersatu hati bersatu untuk Malaysia," katanya.