Kes Covid-19 libatkan warga asing di Subang Jaya tidak tepat

Dr Noor Hisham -Foto Bernama
Dr Noor Hisham -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjelaskan kes positif yang dilaporkan di Subang Jaya pada 10 Ogos lepas melibatkan seorang warga asing yang menjalani saringan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, warga asing tersebut tidak bermastautin di situ, tetapi menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras iaitu lokasi kes.

“Sementara menunggu keputusan ujian, majikan kes telah mengambil inisiatif dengan meletakkan kes di bawah kuarantin di sebuah hotel di Subang Jaya, yang merupakan lokasi yang didaftar dalam aplikasi MySejahtera.

“Namun demikian, setelah mendapat keputusan saringan Covid-19, alamat pendaftaran kes itu dipindahkan semula ke alamat tempat tinggalnya iaitu di Bandar Tun Hussein Onn sebelum dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, segala tindakan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan di lokasi tempat kediaman kes, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn yang turut dikemas kini menerusi aplikasi MySejahtera sebagai alamat kes.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa penularan kes Covid-19 di Subang Jaya susulan pemberitahuan menerusi MySejahtera terdapat kes di kawasan itu.

KKM menasihati orang ramai agar hanya berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat.

-Bernama

Artikel Berkaitan: