Ibu mengaku tak salah dera anak lelaki hingga cedera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja melakukan penderaan terhadap anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak itu, tahun lepas.

Wanita berusia 40 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas anak lelakinya yang berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan lebam di lengan kiri, kesan luka gigitan di telinga kanan serta kesan merah dipukul pada pipi kiri dan kanan serta belakang badan mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Lorong Haji Taib 1 di sini antara 7 pagi dan 9 pagi pada 11 Julai 2019 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan untuk jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: