X

Kindly register in order to view this article
!

Kudung kaki, tidak lenyap impian jadi atlet

Muhammad Mikael menunjukkan medal yang pernah dimenanginya dalam acara kegemarannya di peringkat sekolah.
A
A

KOTA BHARU - Dilahirkan sempurna 16 tahun lalu tetapi pelajar yang dahulunya aktif ini diuji apabila kaki kanannya sehingga paha sudah tiada sekali gus impian bergelar atlet amat tipis.

Muhammad Mikael Mizbanin A Rahman, 16, yang merupakan atlet lumba lari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedai Buloh di sini, tidak lagi dapat beraksi di padang kerana sudah bertongkat apabila mengalami kecederaan ketika bermain futsal tahun lalu.

Setelah menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), dia disahkan menghidap kanser tulang tahap empat pada penghujung tahun lalu.

Kakinya terpaksa dipotong, namun, di sebalik kekurangan dirinya, Muhammad Mikael Mizbanin yang terlalu minat dengan sukan tidak akan sesekali menjadikan kesihatannya sebagai halangan untuk mencapai cita-cita melanjutkan pelajaran ke sekolah sukan di negara ini.

“Sejak dulu saya memang bercita-cita mahu menjadi atlet lumba lari. Saya kena kuat lawan kekurangan ini (tiada sebelah kaki). Saya memang hendak masuk sekolah sukan. Itu impian saya meskipun agak sukar dengan keadaan saya sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Mek Mas semalam.

Terdahulu Muhammad Mikael Mizbanin yang juara dalam acara pecut 400 meter pada peringkat sekolahnya menerima kunjungan Che Norhayati Mohamed dari Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia masih perlu menjalani beberapa rawatan susulan dan perlu kerap ke hospital.

Keluarga Muhammad Mikael menerima sumbangan daripada Che Norhayati (tengah) ketika menziarahi keluarga tersebut di Kampung Pantai Mek Mas semalam.
Keluarga Muhammad Mikael menerima sumbangan daripada Che Norhayati (tengah) ketika menziarahi keluarga tersebut di Kampung Pantai Mek Mas semalam.

Sementara itu ibunya, Nor Nisah Hussin, 50, berkata, anaknya itu perlu menjalani enam kali sesi kemoterapi dan rawatan kali keempat akan dibuat pada penghujung Ogos nanti.

“Apa yang berlaku memang mengejutkan kami pada mulanya. Susah untuk percaya dia akan hilang kaki untuk selama-lamanya. Sebagai ibu, saya selalu berikan kata-kata semangat kerana saya tahu dia cuba untuk menjadi kuat.

“Kawan-kawan dan guru-guru dia ada yang datang bertanya khabar. Itupun sudah cukup untuk dia menjadi tabah. Sebagai ibu saya doakan impian dia menjadi atlet tercapai,” katanya.

Nor Nisah juga memberitahu, buat masa sekarang dia perlu berulang alik ke hospital HRPZII dan juga HUSM yang memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi memandangkan dia tidak bekerja manakala suaminya baru seminggu bekerja kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bulan September ini dia perlu jalani CT Scan pula. Sekali ke hospital saya perlu bayar tambang kereta sewa sehingga RM90. Agak mahal buat kami tetapi demi dia kami usahakan supaya rawatan tidak tertangguh,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh salurkan bantuan ke akaun Muhammad Mikael Mizbanin menerusi Bank Simpanan Nasional (03010-41-00002733-5).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!