Fungsi Anjung Kasih diperluas

Anjung Kasih yang disediakan di Hospital Serdang menawarkan kemudahan kepada waris pesakit untuk berehat.Foto: ROSLI TALIB
Anjung Kasih yang disediakan di Hospital Serdang menawarkan kemudahan kepada waris pesakit untuk berehat.Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

SERDANG - Dimanfaatkan lebih 800 waris pesakit sejak beroperasi Januari tahun lalu, Better Brighter Anjung Kasih YKN @Hospital Serdang (Anjung Kasih) diperluaskan fungsinya bagi menampung keperluan petugas paramedik ketika negara bertungkus lumus memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).

Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan berkata, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, seramai 13 anggota paramedik tambahan ditempatkan di Anjung Kasih dan sehingga hari ini ia masih menjadi tempat penginapan dua petugas dari Kelantan.

“Ketika PKP, lokasi Anjung Kasih dalam kawasan hospital amat membantu petugas, terutamanya yang perlu bekerja dua syif atau lebih. Mereka ditempatkan di anjung yang berbeza daripada waris pesakit yang menginap di situ,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang di sini baru-baru ini.

Dr Rohana Johan. Foto: ROSLI TALIB
Dr Rohana Johan. Foto: ROSLI TALIB

Anjung Kasih dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kemudahan penginapan waris pesakit yang sedang menerima rawatan.

Dr Rohana berkata, beliau berterima kasih kepada TNB kerana menyumbangkan empat unit alat bantuan pernafasan kepada Hospital Serdang yang menjadi antara peralatan terpenting dalam mengendalikan pesakit Covid-19.

Sementara itu, petugas paramedik, Nur Syazwan Noor Hisyamuddin, 24, berkata, beliau menetap di Anjung Kasih sejak Mac lalu susulan penularan Covid-19.

“Saya ditawarkan penempatan tempat kerja di Hospital Serdang ketika Covid-19 melanda jadi belum sempat mencari rumah sewa. Jadual kerja pula padat dan adakala saya terpaksa bekerja dari pagi hingga malam selain dalam keadaan ‘standby’.

Artikel Berkaitan:

“Anjung Kasih menyelesaikan isu jarak ke tempat kerja dan penginapan yang disediakan percuma selain banyak kemudahan disediakan,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Seorang waris pesakit, Nurul Fauziana Kamarudin, 30, pula berkata, beliau tinggal di Anjung Kasih sementara menunggu

anaknya yang masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan jantung.

Beliau yang berasal dari Melaka membuat permohonan menetap di Anjung Kasih selepas tidak mampu menyewa hotel selain tiada pengangkutan untuk berulang alik ke hospital.

“Saya mengambil cuti tanpa gaji dan kini hanya bergantung dengan pendapatan suami. Saya memerlukan tempat menginap sementara menunggu anak dipindahkan ke wad dan alhamdulillah permohonan saya diluluskan dalam masa sehari,” katanya.

Bela kebajikan waris pesakit

Anjung Kasih yang diselaraskan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) mampu menempatkan sehingga 102 ahli keluarga pesakit pada satu masa.

Roszida Ahmad Zahid. Foto: ROSLI TALIB
Roszida Ahmad Zahid. Foto: ROSLI TALIB

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Serdang, Roszida Ahmad Zahid berkata, projek bernilai kira-kira RM1.2 juta itu dibiayai TNB dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, Anjung Kasih mula beroperasi sepenuhnya Januari tahun lalu dan penerima lima hingga enam sehari.

Katanya, tiada bayaran harian dikenakan melainkan deposit RM50 yang akan dipulangkan ketika urusan keluar.

“Kebiasaannya permohonan dibuat terus dari wad selain hebahan di kaunter pertanyaan dan saluran lain bagi pemakluman kemudahan yang terdapat di Hospital Serdang,” katanya.

Menurutnya, kelulusan permohonan boleh diperoleh dalam masa sehari namun pemohon perlu menjalani sesi temuduga ringkas bagi memastikan mereka yang benar- benar memerlukan diutamakan.

Petugas Hospital Serdang yang ditugaskan menjaga kebersihan di Anjung Kasih. Foto: ROSLI TALIB
Petugas Hospital Serdang yang ditugaskan menjaga kebersihan di Anjung Kasih. Foto: ROSLI TALIB

“Selain mensyaratkan khusus kepada warganegara tempatan dengan pendapatan di bawah RM4,000, kami juga mengutamakan waris yang menjaga pesakit kronik dari luar Lembah Klang dan tiada tempat menginap atau saudara mara tinggal berhampiran.

“Tempoh dibenarkan menginap adalah tujuh hari, namun permohonan lanjutan boleh dibuat jika keadaan mendesak,” katanya.

Beliau berkata, latar belakang pesakit tidak hanya tertumpu di Serdang dan kawasan sekitarnya, malah Hospital Serdang turut menerima pesakit dari luar.

“Setakat ini, bilangan pesakit di dalam wad dianggarkan seramai 900 orang dan jumlah itu dijangka bertambah 300 pesakit lagi selepas wad yang menempatkan pesakit jantung dibuka,” katanya.

Anjung Kasih kini beroperasi pada kapasiti 90 peratus dan tidak digunakan dalam had maksimum memandangkan terdapat ciri-ciri keselamatan lain yang masih perlu ditambah baik.

Selain dorm lelaki dan wanita, lapan bilik keluarga disediakan termasuk salah satu daripadanya mesra orang kurang upaya (OKU) serta terdapat loker, pantri, surau, tandas dan mesin basuh dilengkapi pengering baju.