Abdul Hadi dibenar keluar hospital, ucap terima kasih atas doa

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, telah dibenarkan pulang ke rumah pada jam 2 petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman, ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, dimasukkan ke wad semalam disebabkan demam dan bukannya masalah jantung, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya dan beberapa Exco negeri serta pimpinan Pas Terengganu ada melawat beliau tengah hari tadi. Keadaan beliau baik dan doktor telah memberi pelepasan (Abdul Hadi) pulang pada jam 2 petang tadi.

"Sebentar tadi pun saya telah hubungi keluarga tuan guru dan dimaklumkan beliau sudah tiba di rumahnya di Rhu Rendang (Marang),” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman turut berkongsi keadaan terbaharu Tok Guru menerusi akaun Instagram (Instastory). ,

"Alhamdulillah, keadaan Tok Guru makin baik, sudah pulih. Masa terluang (Tok Guru) diisi dengan membaca dan menulis. Beliau sedang menyiapkan dua artikel baharu selain turut berbincang hal-hal semasa," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu juga, Abdul Hadi turut mengirimkan salam kepada semua serta berterima kasih atas doa dan ingatan ke atasnya.

Semalam, kesihatan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan merosot dan dimasukkan ke hospital di sini bagi menerima rawatan.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi semalam.

Dalam hantaran sama, Muhammad Khalil turut memaklumkan ayahnya berada dalam keadaan uzur sejak hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pas Terengganu di Marang pada 27 Jun lepas. - Bernama