WUI teruskan misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah

Hussamuddin (kanan) bersama qari dan pentadabbur Malaysia yang turut serta dalam program Global Muharram 1442 H: 'Tahun Baru Kita' yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Hussamuddin (kanan) bersama qari dan pentadabbur Malaysia yang turut serta dalam program Global Muharram 1442 H: 'Tahun Baru Kita' yang disiarkan secara langsung malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) akan meneruskan misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah di Malaysia dan memperluaskan ke seluruh dunia melalui kempen Quran Hour.

Pengasas WUI, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, bermula enam tahun lalu pihaknya menggerakkan kempen berkaitan iaitu World Quran Hour, Malaysia Quran Hour, Nusantara Quran Hour dan My Quran Hour.

Menurutnya, semenjak pandemik Covid-19, satu program dipanggil My Qurantime untuk tadabbur al-Quran dilaksanakan sehingga sekarang.

"Setakat ini kita sudah hari ke-130 tapi untuk dua bulan pertama, kita tadabbur ayat terpilih dan selepas 8 Mei, kita mulakan dari halaman pertama dan sekarang sudah di halaman 53.

"Harapan kita dalam masa dua tahun ini, seluruh rakyat Malaysia yang menonton My Qurantime akan khatam tadabbur Quran.

"Tagline kita MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah melalui berinteraksi dengan al-Quran dengan membaca, faham dan amal," katanya pada program siaran langsung Global Muharram 1442 H: 'Tahun Baru Kita' di saluran AQL Islamic Center, Indonesia malam tadi.

Program dikendalikan Pimpinan AQL Islamic Center, Ustaz Bachtiar Nasir itu turut disiarkan di platform digital Sinar Harian dan Quran Hour.

Mengulas lanjut Hussamuddin berkata, pihaknya berharap nilai yang terkandung di dalam al-Quran akan menjadi sistem operasi dan corak pemikiran untuk umat Islam benar-benar mengamalkan ajaran Islam sebagai panduan hidup.

Artikel Berkaitan:

"Gerakan kami membangunkan satu ekosistem semua umat Islam yang baca al-Quran, faham dan seterusnya amal.

"Gerakan ini di Malaysia sudah menjadi gelombang besar ditonton hampir satu juta penonton di televisyen tidak termasuk di media sosial," katanya.

Program Global Muharram 1442 Hijrah itu menghafal dan membuat resolusi surah At-Taubah ayat 40 bersama pentadabbur dari Malaysia, Ustaz Fazrul Ismail dan Indonesia.

Turut menampilkan imam dari beberapa negara dengan bacaan masing-masing antaranya Ustaz Tirmizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman dari Malaysia, Syaikh Illyas Al-Mahyawi (Moroko), Syaikh Haitsam Al-Fakhri (Suriah) dan Syaikh Ahmad Al-Ghoul (Palestin).

Selain itu, Syaikh Osman Al Hafizh (Uyghur), Syaikh Muhammad Abd Rahman (Somalia), Syaikh Mu'tashim Billah M (Yordania), Syaikh Abdul Quddus Ma'ruf (Bangladesh) dan Syaikh Anas Muhammadin Kharif M (Sudan).