Pesara guru putih mata, wang RM100,000 lesap!

Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas mendapati wang dalam salah satu akaun banknya berkurangan sebanyak RM100,000. - Foto 123RF
Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas mendapati wang dalam salah satu akaun banknya berkurangan sebanyak RM100,000. - Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pesara guru wanita berusia 81 tahun dari Tongkang Yard, di sini kerugian RM100,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita menyamar anggota polis dari Seremban kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, wanita berkenaan memaklumkan bahawa mangsa memiliki barangan terlarang di pejabat Pos Seremban dan dia sedia membantu daripada ditahan pihak berkuasa.

"Kemudiannya, pemanggil meminta maklumat akaun bank mangsa untuk membolehkan barangan di pejabat Pos berkenaan diserahkan kepada mangsa.

"Mangsa menyerahkan butiran akaun bank miliknya kepada pemanggil akibat rasa takut sebelum menyedari ditipu apabila ke sebuah bank di bandar Alor Setar bersama anak angkatnya pada keesokan harinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa mendapati wang dalam salah satu akaun banknya telah berkurangan sebanyak RM100,000, yang mana dipindahkan melalui dua transaksi sebanyak RM50,000 pada Ahad dan Isnin.

"Dalam kes berasingan, seorang suri rumah berusia 51 tahun dari Hutan Kampung, di sini pula kerugian RM9,962 akibat diperdaya scammer kira-kira jam 3 petang pada Ahad lalu," katanya.

Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kelantan menyatakan wanita itu memiliki tunggakan cukai syarikat atas nama beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa menafikan dakwaan itu sebelum diminta membuat laporan dalam talian dan turut memberikan maklumat akaun peribadi bersama nombor TAC yang diterima.

"Suri rumah itu juga menyedari wang sebanyak RM9,962 dikeluarkan tanpa pengetahuan dirinya apabila ke sebuah bank untuk membuat semakan sehari selepas menerima panggilan," katanya.

Elias berkata, kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar pada Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu.

"Kita ingin menasihatkan orang ramai khususnya pesara agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan diterima yang mengaku dari agensi kerajaan ataupun bank yang meminta maklumat akaun bank untuk tujuan siasatan atau tujuan lain.

"Hal ini disebabkan sindiket jenayah sering menggunakan modus operandi sedemikian untuk menipu mangsa ataupun tujuan penyamaran," katanya.