X

Kindly register in order to view this article
!

Pelik dua tahun tak perasan bendera terbalik

A
A

PADA 31 Ogos tahun ini, genap 63 tahun kita merdeka. Setiap tahun, Hari Kemerdekaan disambut seluruh rakyat dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik. Walaupun masih dibelenggu dengan pandemik Covid-19, ia bukanlah halangan untuk kita meraikannya.

Tema sambutan tahun ini ialah Malaysia Prihatin. Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tema itu dipilih bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan Covid-19.

Tahun ini mungkin sambutannya tidak semeriah tahun-tahun lepas disebabkan negara masih berada dalam fasa pemulihan Covid-19.

Sudah 63 tahun Malaysia merdeka, malangnya masih ada lagi rakyat kita yang tidak sensitif dengan isu-isu yang melibatkan patriotisme.

Sekarang ini kecoh di media sosial tentang Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di beberapa lokasi oleh beberapa pihak.

Ramai yang mengecam tindakan yang dilakukan oleh individu yang dituduh cuba menghina kedaulatan dan mencabar maruah negara.

Sudah tentu perbuatan itu tidak boleh dimaafkan kerana budak kecil berumur lima tahun pun boleh mengetahui bendera Malaysia dan cara memasangnya.

Kes seorang wanita berusia 55 tahun yang dua tahun pasang Jalur Gemilang terbalik di kedai miliknya di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang paling pelik. Dua tahun tak perasan bendera yang dipasang terbalik. Bukan wanita itu, tetapi masyarakat di kawasan itu pun tak perasan!

Istilah flag desecration digunakan apabila terdapat pelanggaran protokol terhadap sesebuah bendera. Ia diklasifikasikan dengan tindakan yang sengaja memusnahkan, merosakkan atau memalsukan bendera di khalayak ramai.

Kesalahan

Selain memasang secara terbalik, ada beberapa perbuatan lain yang boleh dianggap menghina bendera seperti membakar, membuang air kecil atau besar ke atasnya, menghancurkannya, melangkah ke atasnya, merosakkannya dengan batu atau senjata api, memotong atau merobeknya, menghina secara lisan, menyeretnya ke tanah dan sebagainya. Pasang bendera kena berhati-hati, tiada alasan tidak faham atau terlupa, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay kerana individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik boleh didakwa mengikut Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, kata beliau lagi.

Oleh itu, kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik dalam sebuah portal berita bahawa tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik adalah satu kesalahan ternyata tidak tepat dan langsung tiada semangat patriotisme sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun tidak ada undang-undang khusus mengenai Jalur Gemilang, kita juga ada undang-undang am dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) bagi orang yang tidak menghormati bendera Malaysia. Kita pernah menggunakan Seksyen 504 dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Seksyen 14 dalam Akta Kesalahan Kecil 1955 untuk mendakwa individu yang tidak menghormati Jalur Gemilang.

Bendera Malaysia mula dikenali sebagai Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1997 dan perisytiharan nama rasmi bendera kebangsaan itu dibuat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-40.

Sesiapa sahaja yang terlihat Jalur Gemilang rebah ke tanah, dipasang terbalik dan sebagainya, individu tersebut seharusnya menjadi orang pertama yang mengangkatnya kembali, membetulkannya semula kerana ia merupakan lambang kepada kita semua.

Bendera inilah yang menyatukan kita semua. Bendera ini perlu dipertahankan dan dijaga semua kerana ia melambangkan perpaduan Malaysia yang tercinta. Ia juga mempunyai nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan negara kita.

Tiba-tiba saya teringat pada satu dialog yang diucapkan seorang apek dalam filem P Ramlee, Madu Tiga: “Hidup susah... mati pun susah... Hidup jalang sinang sinang... mati pun kena pegang bendela!”

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!