Video ayah pandai masak ketum: Siasat jika wujud unsur buli

Saifuddin berkata, kementeriannya akan meneliti penyebaran video seorang murid yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum sama ada wujud unsur buli siber.
Saifuddin berkata, kementeriannya akan meneliti penyebaran video seorang murid yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum sama ada wujud unsur buli siber.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan meneliti penyebaran video seorang murid yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum, sama ada wujud unsur buli siber.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, secara dasarnya orang ramai berkongsi sesuatu di media sosial tanpa menjangka menerima kecaman pihak lain sehingga boleh menimbulkan tekanan.

"Ada waktunya kita tidak perasan, kita kongsi benda yang lazim sahaja dan pada kita ia tidak ada apa-apa, tetapi selepas itu kita kena 'balun' bertalu-talu, bagi sesetengah orang itu menimbulkan tekanan dan tentulah kita perlu bantu mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: NUTP kesal penyebaran video ayah pandai masak ketum

"Macam kes video ini, mereka kongsi benda biasa sahaja, mengenai hal keluarga, sebenarnya tak ada apa pun tetapi orang 'balun', jadi itu mungkin dah masuk dalam siber buli.

"Walaupun saya belum melihat (video) itu, namun saya akan selidik dan dapatkan maklumat lanjut mengenainya," katanya kepada pemberita hari ini.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang tular itu menunjukkan seorang murid mengangkat tangan dan mengatakan bapanya pandai memasak air ketum selepas menjawab soalan gurunya diikuti gelak ketawa rakan sekelas.

Sebaran video itu menerima reaksi pelbagai pihak termasuklah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menganggapnya satu tindakan tidak wajar.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, pihaknya menerima laporan banyak pihak termasuklah pelajar sekolah menjadi mangsa buli dalam talian dalam pelbagai cara.

"Ramai pihak termasuklah ahli Parlimen yang menyatakan sudah tiba masanya kita wujudkan akta yang khusus untuk menangani buli siber ini.

"Apa yang boleh saya katakan, kita sekarang dalam kajian akhir Akta Anti Buli Siber, akta ini dijangka siap hujung tahun ini dan diharap draf cadangan itu dapat membantu kita menyelesaikan permasalahan berhubung buli siber ini," katanya.