SKMM kekang penyebaran video 'Al Zaytun' - Fahmi

Fahmi ketika Majlis Perasmian IWK Eco Park di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Fahmi ketika Majlis Perasmian IWK Eco Park di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengenal pasti serta mengekang penyebaran video ajaran sesat 'Al Zaytun' yang disebarkan menerusi media sosial.

Malah SKMM juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penyebaran dan penularan video ajaran sesat berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini antara fungsi SKMM yang sentiasa berkerjasama dengan pihak berkuasa agama bagi memastikan penularan video itu dapat disekat.

"Memang selama ini pun sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana majlis agama negeri ada berhubung dengan pihak SKMM sekiranya perlu diambil tindakan.

"Saya percaya kerjasama itu erat dan kita akan pastikan penularan (video) ini bukan hanya dapat disekat tetapi yang terlibat dalam penularan juga boleh diambil tindakan," kata Fahmi.

Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian IWK Eco Park di Pantai Dalam di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan pihak Jakim diminta menyiasat mengenai ajaran didakwa tidak selari dengan syariat Islam di Indonesia dan turut melibatkan rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merujuk kepada isu yang sedang diperkatakan berlaku di Pondok Pesentran Al Zaytun, Indonesia.

Amalan yang berlaku di pusat berkenaan turut dilapor melibatkan beberapa warganegara Malaysia yang berada di antara jiran tersebut.

Menurut Mohd Na’im, perkara itu perlu dibincangkan lanjut oleh Panel Kajian Akidah Jakim bagi mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

Sebelum itu, ada media melaporkan pondok pesantren berkenaan mencetuskan kontroversi termasuk mengadkan solat Hari Raya Aidilfitri dengan saf bercampur lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, SKMM sentiasa memberikan peringatan kepada orang ramai untuk mengelak mereka daripada menyebar bahan fitnah termasuk yang melibatkan 3R (bangsa, agama dan raja).

"Apa-apa yang melibatkan isu-isu agama termasuk isu ajaran sesat, ini kita kena berhati-hati, isu perkauman dan juga isu yang menyentuh raja-raja.

"Jadi kita akan terus memantau dan apabila bila kita terima permohonan atau diminta untuk ambil tindakan, SKMM akan dengan segera, berhubung dengan, penyedia perkhidmatan platform (media sosial) tersebut," katanya.