Bekas SUSK bekas menteri didakwa rasuah RM3.1 juta

Mohd Saifullah dan Nurfadziana ketika keluar dari mahkamah hari ini.
Mohd Saifullah dan Nurfadziana ketika keluar dari mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan dan tunangnya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung pertuduhan rasuah RM3.1 juta berkaitan projek perkhidmatan pengiklanan pelancongan.

Mohd Saifullah Mohd Minggu@Mohd Hisham, 29, didakwa dengan 18 pertuduhan manakala Nurfadziana Abdul Kadir, 28, didakwa dengan satu pertuduhan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18, Mohd Saifullah sebagai setiausaha sulit kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang bertugas di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di Putrajaya didakwa telah meminta menerima suapan daripada Ronold Seto Kong Seng iaitu pemilik Syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd.

Keseluruhan wang suapan itu sebagai upah tertuduh berjanji mendapatkan tender 'Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creatif) untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia' dan tender 'Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara-negara Asia Utara dan Asia Timur (North&East Asia) Tourism Malaysia' kepada Syarikat Inter Bev Network.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri, Kementerian Pelancongan di Putrajaya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Jalan Sultan Ismail, Vipod Residence di Jalan Kia Peng serta di Coffee Bean dan Red Box di Pavillion Jalan Bukit Bintang di sini antara 19 Januari hingga 29 Julai 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu tunang tertuduh, Nur Fadziana didakwa atas satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd Saifullah dengan menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM232,000.

Wang itu sebagai upah untuk membantu Ronald Seto Kong Seng mendapatkan tender 'Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative) Untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia' dan tender 'Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara-Negara Asia Utara dan Asia Timur (North & East Asia) Tourism Malaysia' kepada Syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, serta berjanji untuk mendapatkan tender 'RFP-Global Advertising Agency And Promotion For Tourism Malaysia' kepada Syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Wanita tersebut didakwa melakukan kesalahan pada jam lebih kurang 4 petang, di Vipod Residences, 12 April tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd Saifullah kerana tertuduh didakwa berisiko melarikan diri serta tidak memberikan kerjasama ketika dikesan pihak SPRM sebelum ini.

Bagaimanapun peguamnya, Md Yunos Shariff, memohon jaminan memandangkan anak guamnya telah memberikan kerjasama dan menyerah diri kepada SPRM berhubung kes tersebut.

"Anak guam saya juga telah menyerah diri apabila dipanggil pihak SPRM untuk siasatan pada 14 Ogos lalu. Ini menunjukkan dia memberi kerjasama dan tidak melarikan diri," kata peguam itu.

Beliau juga memohon jaminan dibenarkan memandangkan tertuduh bersedia memberikan kerjasama dan bersetuju mematuhi syarat ditetapkan mahkamah.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, Azman membenarkan Mohd Saifullah diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Nur Fadziana pula dibenarkan diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport tertuduh juga diserahkan kepada mahkamah.

Hakim menetapkan sebutan pada 23 September depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: Bekas SUSK bekas menteri, tunang direman