Remaja lembam antara lima ditahan lumba haram

Nanda (kiri) menunjukkan sebahagian motosikal dirampas di IPD Arau hari ini.
Nanda (kiri) menunjukkan sebahagian motosikal dirampas di IPD Arau hari ini.
A
A
A

ARAU - Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) lembam antara lima yang ditahan polis kerana terlibat lumba haram di Kilometer 17, Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, lima remaja berusia antara 15 hingga 20 itu diberkas selepas berlumba haram kira-kira jam 12.30 pagi, pada Isnin lalu.

"Polis melakukan pemantauan awal di lokasi kejadian dengan menyaksikan perlumbaan antara lima remaja itu hingga sejauh satu kilometer (km). Mereka cuba melarikan diri namun dengan rakaman polis dan pemerhatian dilakukan, kita dapat mengesan lokasi terakhir mereka berhenti.

"Susulan itu, kita dapat menahan kelima-lima remaja tersebut di sebuah rumah di sekitar Arau kira-kira sejam selepas perlumbaan berakhir," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini, hari ini.

Nanda berkata, lumba haram melibatkan lima sahabat itu lebih kepada menguji kelajuan motosikal yang diubah suai, bukan melibatkan sebarang penganjur.

Tambah beliau, keadaan jalan yang tidak banyak kenderaan dan laluan lurus dipercayai mendorong 'kaki motosikal' untuk menguji kelajuan kenderaan masing-masing di kawasan itu.

Difahamkan, hanya suspek berusia 15 tahun yang masih bersekolah, manakala dua rakannya masing-masing berusia 16 dan 17 tahun sudah berhenti belajar serta dua lagi individu berusia 18 dan 20 tahun bekerja sendiri.

Beliau berkata, pihaknya merampas tiga motosikal iaitu sebuah Honda EX5, sebuah Demak dan sebuah Modenas Kriss.

Artikel Berkaitan:

Lima remaja terbabit direman tiga hari bermula Isnin dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.