Pakatan teh susu landa Asia

Hashtag #MilkTeaAlliance telah digunakan hampir 200,000 kali sejak lebih seminggu lalu. - Foto Agensi
Hashtag #MilkTeaAlliance telah digunakan hampir 200,000 kali sejak lebih seminggu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Gerakan prodemokrasi yang sedang melanda beberapa negara Asia telah mewujudkan Milk Tea Alliance (Pakatan Teh Susu) sempena minuman yang menjadi trend di Thailand, Hong Kong dan Taiwan.

Ketika ini, kumpulan dengan matlamat sama di Taiwan menzahirkan sokongan mereka terhadap protes antikerajaan di Thailand.

“Ini adalah ungkapan fizikal pertama Milk Tea Alliance. Kami tidak mahu pakatan ini hanya wujud secara dalam talian.

“Kami mahu wujudkan Pakatan Pan-Asia untuk Demokrasi,” kata pelajar warga Thailand, Akrawat Siripattanachok, 27, yang membantu menganjurkan protes sebagai tanda solidariti kepada gerakan prodemokrasi di Bangkok yang turut disertai aktivis Hong Kong, penentang China dan kumpulan penuntut di Taipei.

Sementara itu, pemimpin protes terkenal di Thailand, Parit Chiwarak, 22, atau lebih dikenali sebagai Penguin menyifatkan pakatan itu sebagai tanda perpaduan antara kumpulan prodemokrasi berbeza di Asia yang mencerminkan keintelektualan dan keakraban lebih besar.

Hashtag #MilkTeaAlliance bermula sejak April lalu sebagai tindak balas ke atas serangan nasionalis China terhadap selebriti Thailand yang berpendapat Hong Kong sebuah negara dan Taiwan bukan sebahagian Beijing telah menjadi gerakan lebih besar yang menyatukan aktivis bermatlamat sama.

Ia dilaporkan digunakan secara meluas oleh pengguna media sosial di Bangkok terutamanya di Twitter, Facebook, TikTok dan platform lain.

Sehingga Ahad lalu, data analitik Twitter menunjukkan #MilkTeaAlliance telah digunakan pada lebih 100,000 tweet dan hampir 200,000 kali muncul di laman blog mikro itu sejak lebih seminggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, hashtag tersebut telah merebak ke Filipina susulan pertikaian dengan Beijing ke atas Laut China Selatan dan India berhubung perebutan sempadan dengan China di wilayah Himalaya sejak Mei lalu. - Agensi