Choong Hann berubah 'angin' ke Hong Kong

Choong Hann - Foto Agensi
Choong Hann - Foto Agensi
A
A
A

BEKAS pengarah kejurulatihan perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann memilih untuk berkelana ke luar negara apabila dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki buat skuad kebangsaan Hong Kong.

Jurulatih berusia 46 tahun itu mengambil 'baton' daripada rakan senegara, Wong Tat Meng yang memilih untuk pulang ke tanah air melatih pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.

Media Hong Kong melaporkan, kontrak Choong Hann adalah selama dua tahun sehingga Sukan Olimpik Paris 2024 dan tugasnya bermula pada Jumaat.

“Dua tahun kontrak sebagai jurulatih perseorangan lelaki,” ujar Choong Hann.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Hong Kong, He Yiming memberitahu, pemilihan Choong Hann berdasarkan kecemerlangan beliau ketika bergelar sebagai pemain.

“Selepas bersara sebagai pemain, beliau berkhidmat sebagai pengarah kejurulatihan pasukan Malaysia. Dia menjalankan tugas dengan baik.

“Persembahan Hong Kong yang kian baik menarik perhatian Choong Hann untuk melatih pasukan kami,” katanya.

Antara pemain yang akan berada di bawah bimbingan Choong Hann ialah pemain nombor 13 dunia Angus Ng Ka Long dan pemain ranking ke-17 Lee Cheuk Yiu.

Choong Hann mengumumkan peletakan jawatannya bulan lalu setelah lima tahun berkhidmat bersama ABM.