Tiga beradik cari ibu kandung supaya dapat sekolah

Illy (kiri) bersama dua adiknya, An Nur Aquesha (kanan) dan Nur Amera merayu ibu kandung mereka, Judith Ramayra datang berjumpa mereka selepas lima tahun menghilangkan diri.
Illy (kiri) bersama dua adiknya, An Nur Aquesha (kanan) dan Nur Amera merayu ibu kandung mereka, Judith Ramayra datang berjumpa mereka selepas lima tahun menghilangkan diri.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga beradik berharap ibu kandung mereka yang merupakan warganegara Filipina yang menghilangkan diri sejak lima tahun lalu, ditemui bagi membolehkan urusan persekolahan mereka dapat diselesaikan.

Illy Nur Farahanna Dolojo, 13, berkata, dia bersama dua lagi adiknya, An Nur Aquesha, 7, dan, Nur Amera Aisha, 5, yang tinggal di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur mengharapkan ibu kandung mereka muncul atau ditemui segera.

"Kami nak sekolah," luah tiga beradik berkenaan.

Illy Nur Farahanna berkata, ibu kandung mereka, Judith Ramayra yang berusia sekitar 39 tahun dicari sejak empat tahun lalu untuk memudahkan urusan dokumentasi mereka tiga beradik tetapi usaha itu masih belum berhasil.

"Selain kami mahu tatap wajah ibu, ibu tiri yang menjaga kami sekarang juga mahu menguruskan proses pendaftaran persekolahan kami.

"Sebab masalah dokumen, saya tak dapat masuk sekolah walaupun umur dah 13 tahun sekarang. Kalau boleh nak sekolah cepat-cepat dan tak nak adik-adik saya pun terima nasib sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, ibu tiri mereka, Rodiah Dahaban, 43, berkata, masalah dokumentasi itu menghalangnya untuk mendaftarkan tiga kanak-kanak tersebut yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri untuk bersekolah.

"Memang sedih setiap kali dengar Illy tanya 'Ma, kenapa kakak (Illy) tak sekolah'. Tapi sebab dia dah besar dan bila saya kata sebab dokumen tak lengkap, dia faham.

Artikel Berkaitan:

"Ekoran itu saya tak putus-putus cari dan jejaki ibu kandung mereka di merata tempat termasuk di tempat kerja lama wanita itu di sebuah restoran di Bandar Sunway, Subang Jaya dan rumah sewa lamanya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur," katanya.

Rodiah yang mempunyai dua anak kandung berusia 15 dan 10 tahun memberitahu, dia menjaga tiga anak-anak suaminya itu sejak Nur Amera dilahirkan malahan turut menjaga ibu kanak-kanak terbabit ketika dalam pantang dahulu.

"Sebelum meninggalkan kesemua anak-anaknya itu kepada saya dan suami, wanita itu mengatakan tak tahu nak pergi ke mana tapi mahu cari kerja dan akan hantar berita. Tapi sampai hari ini tiada khabar berita daripadanya.

"Apa yang penting sekarang saya nak tengok tiga anak saya ini bersekolah. Saya tak nak mereka tercicir dalam pelajaran," katanya.

Menurutnya yang bekerja sebagai tukang cuci, bapa kepada tiga beradik tersebut juga didakwanya jarang pulang ke rumah sejak 2011.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang ibu ketiga-tiga kanak-kanak tersebut boleh menghubungi Rodiah menerusi talian 016-8770390 untuk menyalurkan maklumat.