Majikan didenda RM40,000 gagal praktik Sistem Kerja Selamat

Tertuduh (kanan) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani kerana gagal mempraktikkan Sistem Kerja Selamat sehingga menyebabkan seorang pekerja putus jari, tahun lalu.
Tertuduh (kanan) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani kerana gagal mempraktikkan Sistem Kerja Selamat sehingga menyebabkan seorang pekerja putus jari, tahun lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang majikan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini, selepas mengaku bersalah gagal mempraktikkan Sistem Kerja Selamat sehingga menyebabkan kemalangan, tahun lalu.

Hakim, N Priscilla Hemamalini menjatuhi hukuman itu terhadap Ng Boon Kim, 53, dari NSR Rubber Protective Sdn Bhd selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum bawah Seksyen 19 akta yang sama.

Mahkamah turut mengarahkan agar dia dipenjarakan selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Ng Boon Kim didakwa gagal mempraktikkan keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja menggunakan Sistem Kerja Selamat semasa menjalankan pengoperasian mesin punching phneumatik 16T bernombor 9 sehingga menyebabkan kemalangan kepada seorang pekerja pada jam lebih kurang 12.00 hingga 12.30 tengah hari, 29 Januari 2019.

Berdasarkan fakta kes, mangsa, Muhammad Rahmat Azmi, 26, mengalami kemalangan di mana jari telunjuk di tangan kiri dan kanan telah terhimpit menyebabkan jarinya hancur sehingga terpaksa dipotong semasa mengendalikan mesin terbabit.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM40,000.

Difahamkan, dia telah dibebaskan selepas membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kedah, Ir Lim Yee Tat manakala Orang Kena Saman (OKS) itu tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: