Sami ketuai protes bantah kepulangan Rohingya

Kira-kira 100 orang penunjuk perasaan diketuai golongan sami Buddha berarak di bandar Sittwe semalam bagi membantah penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh. - Foto AFP
Kira-kira 100 orang penunjuk perasaan diketuai golongan sami Buddha berarak di bandar Sittwe semalam bagi membantah penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh. - Foto AFP
A
A
A

SITTWE - MYANMAR. Sekumpulan penunjuk perasaan di Rakhine mengadakan protes membantah pelan penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh.

Kira-kira 100 orang penunjuk perasaan diketuai golongan sami Buddha berarak di bandar Sittwe sambil memegang sepanduk dan menggelar pelarian etnik minoriti Rohingya sebagai 'pelarian yang melarikan diri'.

Penunjuk perasaan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pendatang haram dan tidak membenarkan penempatan semula pelarian Rohingya di utara negeri Rakhine.

"Semua rakyat bertanggungjawab menjaga keselamatan negara," kata seorang sami menerusi siaran Facebook live yang mengikuti protes berkenaan.

"Tiada sebarang faedah untuk rakyat mahupun negara sekiranya kita menerima pelarian Bengali, nama jolokan buat pelarian Rohingya yang dilabelkan sebagai pendatang baharu dari Bangladesh.

Protes berkenaan diadakan 10 hari selepas Bangladesh dan Myanmar sepatutnya memulakan penghantaran pulang secara rasmi pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri daripada tindakan kejam tentera Myanmar pada Ogos tahun lalu.

Pelarian Rohingya mendakwa, tentera junta membakar kediaman dan kampung mereka selain membunuh ahli keluarga dalam usaha mengusir mereka keluar dari negara itu.

Pada akhir bulan lalu, Dhaka dan Yangon bersetuju untuk memulakan penghantaran pulang ribuan pelarian Rohingya walaupun agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan situasi di Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Pelarian Rohingya bagaimanapun enggan pulang selagi permintaan untuk mendapat hak kerakyatan, jaminan keselamatan serta hak asasi lain termasuk akses kepada rawatan kesihatan dan pendidikan dipenuhi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penghantaran pulang pelarian Rohingya batal]

Mereka turut bimbang layanan kasar daripada penduduk bukan Muslim di Rakhine yang tidak mengalu-alukan kepulangan pelarian Rohingya. - AFP