Pokok rendang di ibu negara undang bahaya

Notis DBKL hari ini memaklumkan enam pokok rendang dikenalpasti sebagai pokok berisiko dan berbahaya.
Notis DBKL hari ini memaklumkan enam pokok rendang dikenalpasti sebagai pokok berisiko dan berbahaya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam pokok rendang di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Ampang dan Jalan Raja dikenalpasti sebagai pokok berisiko dan berada dalam keadaan berbahaya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berhati-hati sewaktu melalui kawasan berkenaan sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja-kerja penebangan pokok terbabit secara berperingkat dengan kadar segera bagi memastikan keselamatan terjamin.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan, pihaknya sebelum ini menjalankan pemeriksaan terhadap pokok-pokok berisiko di beberapa lokasi di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bersama Persatuan Arborist Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan merangkumi pemantauan secara visual dan pemeriksaan di bahagian dalam batang pokok dengan menggunakan peralatan khusus seperti Picus Sonic Tomograph.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak enam batang pokok berada dalam keadaan berbahaya dan dicadangkan untuk ditebang dengan kadar segera.

“Ia termasuk empat pokok Hujan-hujan atau nama saintifiknya Samanea Saman di depan Menara Atlan, Jalan Ampang; Bangunan Sultan Abdul Samad dan bersebelahan Perpustakaan Kuala Lumpur, Jalan Raja dan dua pokok Angsana (Pterocarpus Indicus) di depan Malaysia Institute of Art, Jalan Ampang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, kebanyakan pokok tersebut didapati reput pada bahagian pangkal akar dan dahan utama.

Sehubungan itu, katanya, DBKL mengharapkan kerjasama daripada semua pihak memandangkan lokasi pokok tersebut berada di kawasan tumpuan awam.

Artikel Berkaitan:

"DBKL juga mengharapkan wargakota dapat bekerjasama untuk memastikan kehijauan bandaraya Kuala Lumpur terpelihara dengan memastikan pokok-pokok rendang yang ditanam berada dalam keadaan sihat dan selamat," katanya.