Tuah daftar saat akhir, peniaga bawa pulang RM20,000

Tengku Rohana (tiga dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Memancing Surfcasting Terbuka Selangor di Pantai Kelanang pada Ahad.
Tengku Rohana (tiga dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Memancing Surfcasting Terbuka Selangor di Pantai Kelanang pada Ahad.
A
A
A

BANTING – Tidak menyangka kehadiran pada saat akhir mampu membawa tuah, seorang peniaga, Ismadi Dolit, 33, dari Melaka muncul juara Pertandingan Memancing Surfcasting Terbuka Selangor di Pantai Kelanang, di sini pada Ahad.

Lebih manis, Ismadi membawa pulang wang tunai RM20,000 selepas berjaya menaikkan ikan semilang seberat 1.035 kilogram (kg) pada jam 10.35 pagi, sekali gus menewaskan lebih 600 peserta yang menyertai pertandingan berkenaan.

Ismadi berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk muncul juara memandangkan tiba agak lewat di lokasi pertandingan sehingga tidak berpeluang memilih kawasan memancing yang menjadi pilihan.

Menurutnya, kebanyakan lokasi strategik sudah dipenuhi peserta lain ketika dia tiba.

“Saya tiba lewat ke lokasi memancing. Ketika itu, saya tiada pilihan untuk memilih lokasi terbaik kerana ‘spot’ pilihan sudah dipenuhi pemancing lain.

“Saya hanya berserah dan melakukan yang terbaik. Tak sangka pula rezeki berpihak kepada saya kali ini,” katanya.

Tempat kedua menjadi milik seorang lagi peserta dari Melaka, Samad Jumaat, 32, yang menaikkan ikan semilang seberat 0.835kg, manakala peserta dari Selangor, Shahrul Hasnan Abu Hassan, 57, menduduki tempat ketiga dengan tangkapan ikan malong seberat 0.845kg.

Sebahagian daripada lebih 600 peserta yang menyertai Pertandingan Memancing Surfcasting Terbuka Selangor di Pantai Kelanang pada Ahad.
Sebahagian daripada lebih 600 peserta yang menyertai Pertandingan Memancing Surfcasting Terbuka Selangor di Pantai Kelanang pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Samad membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala Shahrul Hasnan menerima RM1,000 serta tambahan RM1,000 sebagai hadiah khas untuk peserta dari Selangor.

Bagaimanapun, Ismadi dan Samad tidak layak menerima hadiah tambahan masing-masing RM3,000 dan RM2,000 yang dikhaskan untuk rakyat atau pemastautin Selangor.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pegawai Daerah Kuala Langat, YM Tengku Rohana Tengku Nawawi.

Turut hadir, Pengarah Korporat dan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hashila Hamzah; Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr Norhayati Mokhtar dan Pengurus Pejabat Penyelaras DUN Morib, Nizam Toha.

Pertandingan itu dianjurkan bersama Pejabat Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor serta Pertubuhan Penggerak Aktiviti Pantai Kelanang (Penggerak), dengan kerjasama MPKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selain pertandingan memancing kategori pantai, program turut merangkumi Pertandingan Memancing Tradisional serta acara jalan kaki Intergenerasi Remaja-Warga Emas anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!