Jom cakna, elak derita

A
A
A

SAYA terlihat satu video bisu sepanjang tiga minit bertajuk Be a support di YouTube. Ia ditulis dan diarahkan oleh Sharivini Lekha Youva Raj. Beliau merupakan Pegawai Psikologi, Bahagian Sumber Manusia di Universiti Malaya. Menarik video itu walaupun tanpa suara, kecuali sedikit pada hujung video.

Mesej yang hendak disampaikan adalah berkaitan kemurungan yang merupakan sejenis penyakit. Risiko bunuh diri sangat tinggi dalam kalangan pesakit kemurungan, maka perhatian dan sokongan moral amat penting sebagai usaha untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kemurungan yang telah didiagnosis secara klinikal bukanlah kesedihan yang biasa. Ia merupakan penyakit yang melibatkan perasaan sedih yang berpanjangan serta menjejaskan fungsi harian seorang individu. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti penyakit kemurungan sebagai penyakit keempat terbesar yang dialami oleh manusia di seluruh dunia ketika ini.

Penyakit kemurungan berbeza daripada kesedihan biasa. Apabila kita berhadapan dengan kemalangan atau menghadapi masalah yang berat, adalah biasa untuk berasa sedih. Selepas itu, perasaan sedih akan hilang dan kita dapat melakukan tugas harian seperti biasa. Tetapi, jika perasaan sedih itu berpanjangan sehingga tiada penghujungnya dan mula menjejaskan fungsi harian, ia perlu diberi perhatian.

Menurut pakar psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Mohd Azhar Mohd Yasin, tanda-tanda penyakit kemurungan adalah apabila seseorang individu berasa sedih sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Kemudian, individu tersebut tidak berminat melakukan aktiviti yang disukainya sebelum ini.

Lama-kelamaan, selera makannya pula semakin berkurang dan berat badan merosot secara mendadak. Selain selalu letih dan kurang tenaga, individu tersebut akan rasa bersalah yang melampau sehingga merasakan dirinya tidak berguna.

Kemurungan boleh berkembang menjadi masalah kesihatan mental yang lebih mencabar jika tidak dirawat. Dalam kes yang serius, individu yang mengalami kemurungan mungkin akan cuba untuk mencederakan diri atau membunuh diri. Kes bunuh diri seorang bekas juruterbang baru-baru ini berkemungkinan kesan daripada tekanan hidup yang mengakibatkan kemurungan.

Ada individu yang tidak menyedari atau tidak mengaku bahawa mereka sedang mengalami penyakit kemurungan. Secara fizikalnya, mereka tidak mempunyai tanda-tanda kemurungan yang jelas. Walaupun mempunyai kehidupan yang sepatutnya bahagia, mereka tetap berasa murung dan beranggapan tanda-tanda ini adalah normal, tidak perlu dirawat dan boleh hilang dengan sendirinya.

Artikel Berkaitan:

Bolehkah kemurungan dirawat?

Kaedah rawatan bergantung pada tahap penyakit. Gejala kemurungan yang ringan biasanya tidak memerlukan ubat-ubatan antidepresan. Pesakit boleh menjalani sesi psikoterapi, pesakit akan dibimbing untuk mengenal pasti masalah serta cara penyelesaian, juga menangani fikiran negatif dan pesakit digalak untuk meluahkan perasaan dengan betul serta diberi sokongan.

Peranan orang terdekat untuk menyedarkan mereka yang kemurungan adalah sangat penting. Bawa rakan atau ahli keluarga anda yang bermasalah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

Sokongan dan perhatian ahli keluarga terdekat dan sahabat karib adalah sangat diperlukan bagi pesakit kemurungan untuk membina semula keyakinan diri. Jom cakna, elak derita.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pengimejan Kraniofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan.