Kajian dapati YouTube syor video senjata ganas kepada kanak-kanak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

NEW YORK - Kajian terbaharu mendapati cadangan video oleh YouTube membawa kepada video dan grafik senjata api yang ganas kepada kanak-kanak seawal usia sembilan tahun.

Kebanyakan klip itu juga bertentangan dengan dasar platform terhadap kandungan ganas atau berdarah.

Dalam kajian untuk memahami kaitan antara video YouTube dan keganasan senjata api, penyelidik sebuah kumpulan bukan berasaskan keuntungan di Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji media sosial, mewujudkan akaun pada platform yang meniru tingkah laku budak lelaki Amerika biasa, lapor Xinhua memetik The Associated Press pada Rabu.

Penyelidik membuat simulasi dua kanak-kanak berusia sembilan tahun yang kedua-duanya suka permainan video. Akaun tersebut adalah sama, kecuali seorang mengklik pada video yang disyorkan oleh YouTube, dan satu lagi mengabaikan cadangan platform, kata laporan itu.

Akaun yang mengklik pada cadangan YouTube tidak lama kemudian dibanjiri dengan video grafik tentang tembakan di sekolah, video latihan senjata taktikal dan arahan untuk membuat senjata api automatik.

Penemuan menunjukkan di sebalik peraturan YouTube dan usaha penyederhanaan kandungan, "platform itu gagal menghentikan penyebaran video menakutkan yang boleh menyebabkan trauma kepada kanak-kanak atau menjerumuskan mereka ke arah ekstremisme dan keganasan," tambah laporan itu. - Bernama-Xinhua