X

Kindly register in order to view this article
!

Sasterawan negara yang tercicir

A
A

ADA sasterawan yang tercicir dalam penerimaan Anugerah Sastera Negara, yang kini sudah empat belas penerimanya daripada kalangan pengarang-pengarang besar tanah air. Dianalisis daripada taburan genre, puisi enam orang, novel enam orang, cerpen seorang dan drama seorang.

Pemuisinya ialah Usman Awang, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Baha Zain, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail. Novelis ialah Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, Abdullah Husain, S. Othman Kelantan dan Anwar Ridhwan. Cerpenis hanya untuk Keris Mas, dan dramatis ialah Noordin Hassan.

Dalam konteks genre ini, berlaku tidak keseimbangan dan kekerdilan dalam cerpen dan drama. Namun, terjadi pembauran dalam genre pengarang, terdapat penulis berkarya dalam pelbagai genre. Menulis cerpen hanya sebagai permulaan, kemudian beralih ke genre novel.

Salah seorang sasterawan yang tercicir ialah Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Menghasilkan 23 buah cerpen dan 17 buah novel. Budak Beca, Judi Karan dan Pengantin Baru diterima sebagai novel paling popular pada zamannya; Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila adalah teks-teks kanonnya.

Beliau mengkritik penjajah dan menyalakan kesedaran kebangsaan anak bangsanya, melalui protagonisnya, Ratu Bongsu yang berdepan dengan penjajah Tuan Robert dan Tuan William. Anak Mat Lela Gila pula mengkritik masyarakat Melayu, yang lalai dengan kemerdekaan, tetapi tidak melakukan pengisiannya.

Secara futuristik menyindir sinis generasi mendatang, yang terperangkap dalam pelbagai penyakit sosial, isu-isu itu masih segar malar hingga sekarang. Pemikirannya merentas zaman.

Pihak Utusan Melayu telah melantik saya sebagai ketua penyelidikan ‘Ishak Haji Muhammad Pelopor Semangat Nasionalisme dalam Sastera Melayu’ (1981), bagi menyiapkan proposal untuk beliau dianugerahkan Sasterawan Negara. Berita positifnya sayup-sayup kedengaran, tetapi di penghujungnya telah dibatalkan, alasannya beliau ialah pejuang pihak kiri.

Layak

Seorang lagi yang layak menerima anugerah ialah Suhaimi Haji Muhammad. Pemuisi yang tersohor, amat prolifik, menerbitkan 21 kumpulan puisi dengan 1,000 buah sajak, tiga buah kumpulan cerpen dan sebuah penulisan kritik. Bermula dengan realisme 1960-an, mempelopori aliran surealisme 1970-an, dan berhijrah ke puisi sufi tahun 1980-an.

Beliau dianggap bijak mengaplikasi pelbagai teknik perpuisian, bertenaga dan mantap, meninggalkan puisi alamiah dan curahan perasaan. Apabila orang Melayu lalai dengan pesta merdeka dan tertimbus ekonominya, beliau menulis puisi tersirat untuk meramalkan masa hadapan bangsanya dengan puisi surealisme. Kemudian dengan sarat berisyarat, istinbat dan makrifat, yang ditanzilkan daripada surah-surah al-Quran, takjub dengan kebesaran Allah dengan halus zauq batinnya, beliau menulis puisi-puisi tasawuf.

Dalam Seminar Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad (2010), keseluruhan pewacana menyatakan, beliau layak menerima Anugerah Sastera Negara. Bagaimanapun saya menekankan, beliau mengalami kesukaran, kerana langkanya dalam aspek mediasi. Suhaimi Haji Muhammad terkenal sebagai The Lone Ranger, kurang sahabat yang boleh mempromosinya, membina pagar berduri dan berdiri sendiri di atas batu pasir.

Seorang lagi tokoh sasterawan ialah Shaharom Husain. Sezaman dengan Asas 50 di Singapura, beliau menulis drama sejarah dalam era sandiwara, Lawyer Dahlan, diterima sebagai pelopor drama Melayu moden. Menghasilkan lebih 30 buah skrip, dan Si Bongkok Tanjung Puteri teks kanonnya. Menulis novel sejarah, sepuluh buah teks, 10 Julai 1511 dan Tun Fatimah karya ikoniknya. Namanya di belakang Harun Aminurasyid, novelis sejarah tanah air yang paling unggul itu.

Agak aneh, sasterawan sezaman dengannya, Keris Mas untuk cerpen, Usman Awang untuk sajak dan A. Samad Said untuk novel, telah dianugerahkan Sasterawan Negara. Tetapi sayang, Shaharom Husain untuk drama tidak diberi. Jika syaratnya ialah merit dan sumbangan, Shaharom Husain juga besar sumbangannya.

Kekuatan

Azizi Haji Abdullah, seorang lagi tokoh sasterawan yang ramai merasakan, telah tercicir dalam penganugerahan Sasterawan Negara. Kekuatannya pada penulisan genre cerpen dengan 200 buah teks, 11 kumpulan persendirian dan 15 antologi bersama.

Beliau juga menghasilkan 38 buah novel, dan Orang Tua di Kaki Gunung adalah teks kanonnya, yang pernah menjadi buku teks kertas Kesusasteraan Melayu. Memenangi 13 kali untuk cerpen dan sembilan kali untuk novel dalam pelbagai hadiah termasuk Hadiah Karya Sastera dan Sastera Perdana Malaysia.

Kekuatannya pada naratifnya yang bersahaja, beralegori, parodi dan bersifat ironik serta bernuansa keislaman. Dunia kampung dengan manusia veteran, si ayah dan si atok, dicitrakan dengan gaya melankolik dan melodramatik yang menjadi sinonim pengkaryaannya. Azizi Haji Abdulah terkenal sangat prolifik dan dedikasi

Dalam suatu pertemuan sastera di Kuala Lumpur, saya pernah menyatakan, “Hang ni dah layak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.”

Dia tersenyum. Sebenarnya, saya dengan Azizi Haji Abdullah ini sangat rapat, saya pernah berkunjung ke rumahnya, dan akan tinggal sebilik seandainya kami ke luar negara atas urusan sastera. “Aku ni orang kiri,” katanya. Dia menyedari, kerana penglibatannya dalam politik, 1999 pernah bertanding atas nama Pas di Kulim, tetapi tewas.

Dalam genre cerpen, hanya Keris Mas dinobatkan Sasterawan Negara, berjaya mencipta semangat modenisme, Azizi Haji Abdullah yang mengembang dan mengukuhkan genre tersebut dilupakan.

Sama dalam drama, hanya Noordin Hassan penerimanya, pelopor surealisme, Shaharom Husain yang terlebih dahulu berjasa pada dunia sastera, pelopor drama Melayu moden, dicicirkan dalam perkiraan penerimaan anugerah Sasterawan Negara.

Tulisan ini tidak menyangkal pemberian Anugerah Sastera Negara. Tidaklah seperti yang pernah dialami oleh Akademi Sweden, yang mengurus Hadiah Nobel Kesusasteraan Dunia itu, pernah dipertikai pemberiannya, disebabkan mekanismenya penuh rahsia, pengurusannya tidak stabil, prinsip penilaiannya tidak konsisten dan berlaku kronisme. Dalam Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (2015), saya menyanjung pencapaian semua penerima Sasterawan Negara itu.

Sekadar mengingatkan, terharu dan bersimpati, bahawa terdapat dalam kalangan sasterawan kita itu, kerana sesuatu sebab, mungkin dari sudut sejarah, politik atau kekhilafan sendiri, takdir tidak menyebelahi mereka.

Keempat-empat sasterawan itu, telah pun berpulang ke negeri Abadi, dan meninggalkan kepada kita khazanah karya yang bermutu. Sebagai bangsa yang bertamadun, adil dan menghormati pencapaian kepengarangan seseorang, diharapkan keciciran seperti ini tidak harus berulang lagi.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!