Kembalikan hak Bukit Melaka

Nama Bukit Melaka telah ditukar oleh penjajah barat. Kini ada pihak mahu namanya dikembalikan sebagai Bukit Melaka. Gambar kecil: Dr Abdul Latiff Abu Bakar
Nama Bukit Melaka telah ditukar oleh penjajah barat. Kini ada pihak mahu namanya dikembalikan sebagai Bukit Melaka. Gambar kecil: Dr Abdul Latiff Abu Bakar
A
A
A

SYUKUR kepada ALLAH, saya ialah anak jati Melaka yang dilahirkan di Banda Hilir, Melaka yang terletak berhadapan dan bertentangan dengan Bukit Melaka yang kemudian dinamakan sebagai Bukit St Paul oleh penjajah yang memerintah negeri Melaka.

Bukit itu menjadi tumpuan para pelancong. Sebagai anak Melaka, saya kerap membawa teman-teman melawat Bukit St Paul sebagai tempat bersejarah. Bukit itu juga menjadi tempat kami anak-anak Melaka beriadah.

Apabila diterima menjadi pelajar Universiti Malaya pada tahun 1972, sebagai kenangan saya mengambil kesempatan melawat Bukit St Paul dan merakamkannya dalam sebuah puisi bertajuk Ke Menara Gading, dimuatkan dalam buku Anak Jati, Antologi Puisi.

Bukit itu menjadi tumpuan para pelancong. Sebagai anak Melaka, saya kerap membawa teman-teman melawat Bukit St Paul sebagai tempat bersejarah. Bukit itu juga menjadi tempat kami anak-anak Melaka beriadah.

Apabila diterima menjadi pelajar Universiti Malaya pada tahun 1972, sebagai kenangan saya mengambil kesempatan melawat Bukit St Paul dan merakamkannya dalam sebuah puisi bertajuk Ke Menara Gading, dimuatkan dalam buku Anak Jati, Antologi Puisi Autobiografi yang diterbitkan oleh Lembaga Bahasa Melayu Melaka pada tahun 2017.

Puisi itu mengisahkan pendirian saya untuk mengambil (major) bidang sejarah terutama bagi memahami dan menjejaki lebih mendalam dan menghayati perjuangan serta pengisian kemerdekaan di Persekutuan Tanah Melayu dan rumpun Melayu.

Warisan

Salah satu kemusykilan saya, mengapa Bukit Melaka yang terkenal sebagai pusat Kesultanan Melayu Melaka sehingga mendorong Portugis, Belanda dan Inggeris yang menjajah Melaka menjadikan Bukit Melaka sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran dengan mengubah nama Bukit Melaka kepada Bukit St Paul demi kepentingan mereka.

Artikel Berkaitan:

Warisan sejarah itu tetap dipertahankan oleh kerajaan negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Ini selaras dengan strategi menarik para pelancong untuk datang ke negeri Melaka. Kawasan itu juga telah diiktiraf sebagai Zon Melaka Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2008.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah dan warisan dalam peradaban yang bertaraf dunia, Malaysia mempunyai undang-undang iaitu Akta Warisan Kebangsaan (2005) dan Enakmen Melaka yang wajib dipatuhi dalam usaha memelihara dan memulihara Warisan Ketara (Tangible) dan Warisan Tak Ketara (Intangible).

Dari segi sejarah, kehebatan Melaka diabadikan pada nama Selat Melaka, sebagai selat yang memisahkan pulau Sumatera dengan bumi Semenanjung Tanah Melayu (Malaya). Muara Sungai Melaka pula menjadi medan serta pusat peradaban dan perdagangan yang terkenal sama seperti Sungai Venice di Eropah.

Saya sungguh menghormati sikap dan dasar negara bangsa yang merdeka di dunia yang mempertahankan dan mengembalikan nama dan kegemilangan warisan negara kepada nama asalnya seperti negara Burma dikembalikan kepada nama Myanmar, ibu negara Peking di China ditukar kepada Beijing, Ceylon kepada Sri Lanka dan beberapa negara yang merdeka dan dipengaruhi penjajahan Barat ditukar kepada nama asalnya seperti yang dilakukan di beberapa negara di Eropah, Indonesia, India, Pakistan, Filipina, beberapa negara Indochina seperti Kemboja dan sebagainya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada negara Malaysia untuk merdeka daripada pengaruh luar dan penjajah yang merencatkan pemikiran anak-anak Malaysia yang berbilang kaum.

Sebagai anak jati Malaysia, kita mempunyai kekuatan jati diri, bersemangat patriotisme berpaksikan sejarah dan mempunyai semangat cinta kepada tanah air Malaysia.

Salah satu nama asal daripada perkataan Melayu yang telah ditukar kepada nama dari luar ialah Bukit Melaka (Melaka Hill) yang telah wujud sejak abad ke-13 dan diubah kepada nama Bukit St Paul (sempena nama tokoh paderi Kristian di Asia).

Sebahagian aktivitis Pemuda ISMA dan NGO berarak ke Bukit St Paul dan menaikkan kain rentang Bukit Melaka semalam sebagai simbolik menyokong cadangan pihak berkuasa untuk menukar nama tempat tersebut. -Foto Facebook ISMA Cawangan Melaka
Sebahagian aktivitis Pemuda ISMA dan NGO berarak ke Bukit St Paul dan menaikkan kain rentang Bukit Melaka semalam sebagai simbolik menyokong cadangan pihak berkuasa untuk menukar nama tempat tersebut. -Foto Facebook ISMA Cawangan Melaka

Bukit Melaka memang terkenal sebagai pusat pemerintahan istana, masjid dan kubur raja dan orang Islam yang telah dimusnahkan oleh penjajah Barat. Mereka telah menamakan Bukit St Paul bagi menggantikan Bukit Melaka.

Kita pula masih terikut-ikut sehingga lupa bahawa Bukit Melaka adalah khazanah warisan bangsa yang telah dimusnahkan oleh penjajah dari Barat. Namun kita sempat menyelamat dan menyimpan batu nisan Sultan Mansur Syah yang dijumpai di atas Bukit Melaka dan tersimpan di Muzium Melaka sekarang.

Cadangan Perbadanan Muzium Melaka bagi menukar nama Bukit St Paul kepada nama asalnya iaitu Bukit Melaka mendapat pelbagai reaksi.

Pihak yang membantah pertukaran nama bukit itu telah membuat pelbagai tuduhan dengan tidak melihat realiti sejarah. Bagi anak jati Melaka dan rakyat Malaysia yang mempunyai kekuatan jati diri dan semangat patriotisme pula, mereka menyokong kuat dan berdiri teguh di belakang kerajaan negeri Melaka agar bertindak mengembalikan semula nama Bukit Melaka.

Mereka membantah sikap pesimistik ini dengan beberapa pendapat yang tidak masuk akal iaitu: penukaran nama bukit itu tidak menghormati sejarah negeri Melaka; dianggap rasis dan tidak menghormati fahaman agama Kristian; merencatkan usaha kedatangan pelancong ke Malaysia; dan isu itu dikaitkan dengan parti politik bagi mendapat pengaruh orang ramai.

Bijaksana

Mengikut UNESCO, kerajaan negeri Melaka hendaklah menjaga dengan memelihara dan memulihara warisan di sekitar buffer zone Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia agar warisan tersebut tidak dimusnahkan atau dicemarkan.

Kerajaan negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab menjaga warisan itu dengan bijaksana.

Sejak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, persekitaran Bukit Melaka telah dijaga dengan rapi. Ia dimanfaatkan dengan dijadikan pejabat-pejabat kerajaan tanpa memusnahkan khazanah warisan sejarah yang sangat berharga.

Sebagai Warisan Ketara, kita mahu UNESCO terus mengiktiraf Bukit Melaka sebagai khazanah warisan dunia. Kita hanya mahu nama asalnya dikekalkan sebagai Bukit Melaka bagi menggambarkan keadaan sebenar sebagai Pusat Pentadbiran Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang kemudian dijadikan pusat pentadbiran penjajah dari negara Barat.

Dan kini Bukit Melaka dikekalkan sebagai warisan sejarah yang dijaga rapi dan dijadikan sebagai Muzium Sejarah, Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka dan pejabat pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka.

Bukit Melaka tetap dan terus dikunjungi oleh para pelancong dari seluruh dunia sebagai tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

Demi sejarah dan warisan negara yang berdaulat berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara, sewajarnya nama Bukit Melaka dikembalikan haknya. Kita bukan mahu merobohkan gereja dan patung paderi Kristian tetapi kita hanya mahukan Bukit St Paul dikembalikan nama asalnya kepada Bukit Melaka.

*Profesor Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar ialah Profesor Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga Pengerusi Majlis Peradaban Melayu dan Pengerusi Biro Sosiobudaya dan Warisan, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam