COP31 medan perkukuh agenda iklim Malaysia

Perubahan iklim yang semakin ketara, ditambah aktiviti manusia tanpa kawalan, telah memberi tekanan besar terhadap keseimbangan alam sekitar. Gambar kecil: Arthur
Perubahan iklim yang semakin ketara, ditambah aktiviti manusia tanpa kawalan, telah memberi tekanan besar terhadap keseimbangan alam sekitar. Gambar kecil: Arthur
A
A
A

PERUBAHAN iklim yang semakin ketara, ditambah aktiviti manusia tanpa kawalan, telah memberi tekanan besar terhadap keseimbangan alam sekitar sehingga kesannya kini dirasai di seluruh dunia.

Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan cabaran ini. Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini, termasuk bahang panas yang berpanjangan serta hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir, membuktikan bahawa perubahan iklim bukan lagi ancaman yang jauh daripada kehidupan.

Fenomena ini bukan sekadar mengubah corak cuaca, malah memberi kesan langsung terhadap keselamatan, kesejahteraan masyarakat, ekonomi dan kelangsungan sumber alam negara.

Justeru, usaha menangani perubahan iklim tidak boleh lagi dilihat sebagai tanggungjawab sesebuah negara semata-mata. Ia memerlukan kerjasama global yang lebih kukuh, komitmen berterusan dan paling penting, tindakan yang mampu menghasilkan perubahan nyata.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia di COP31
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia di COP31

Dalam konteks ini, Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) yang berlangsung di Antalya, Turkiye dari 9 hingga 20 November 2026 membawa mesej penting bahawa dunia perlu beralih daripada sekadar membuat janji kepada pelaksanaan tindakan iklim yang lebih berkesan.

Persidangan yang menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, saintis, perunding dan wakil masyarakat sivil itu menjadi platform untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan perubahan iklim, termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian terhadap impak perubahan iklim serta pembiayaan iklim.

Bagi Malaysia, penyertaan dalam COP31 bukan sekadar memenuhi komitmen antarabangsa, sebaliknya menjadi ruang untuk memperjuangkan kepentingan negara membangun dalam memastikan agenda iklim global dilaksanakan secara adil dan seimbang.

Dalam Kenyataan Negara Malaysia di persidangan itu, saya menegaskan kepentingan memperkukuh multilateralisme serta memajukan tindak balas iklim global yang lebih beraspirasi, seimbang dan berteraskan pelaksanaan.

Kita percaya bahawa tanggungjawab menangani perubahan iklim perlu dipikul secara bersama, namun pelaksanaannya mestilah mengambil kira keupayaan, keperluan dan keadaan berbeza setiap negara.

Negara maju khususnya perlu meningkatkan sokongan kewangan dalam bentuk geran kepada negara membangun yang memiliki kepelbagaian biologi tinggi.

Bantuan ini penting bagi membolehkan usaha pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti dilaksanakan secara lebih menyeluruh tanpa meletakkan beban kewangan yang tidak seimbang kepada negara berkenaan.

Hutan dan biodiversiti bukan sekadar khazanah sesebuah negara, sebaliknya merupakan aset penting dunia dalam menyerap karbon, mengekalkan keseimbangan ekosistem dan melindungi kehidupan manusia.

Malaysia turut mengalu-alukan penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 yang berperanan memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal, pertukaran maklumat serta penglibatan bersama dalam menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim.

Penerimaan Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8 juga membuka ruang kepada kerjasama lebih tersusun dalam memperkukuh agenda kelestarian di peringkat antarabangsa.

Namun, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah usaha menangani perubahan iklim tidak boleh dilaksanakan dengan mengabaikan keperluan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Atas sebab itu, Malaysia menekankan kepentingan peralihan tenaga yang adil dan inklusif, selari dengan pertumbuhan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan serta penyediaan tenaga pada harga mampu milik.

Peralihan kepada tenaga hijau tidak seharusnya menjadi beban kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar. Sebaliknya, perubahan ini perlu membuka peluang ekonomi baharu, meningkatkan daya saing industri serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih meluas.

Peralihan tenaga juga tidak boleh hanya tertumpu kepada penghasilan tenaga daripada sumber lebih bersih. Ia perlu disokong oleh perancangan jangka panjang, pembangunan teknologi, pelaburan, infrastruktur dan dasar yang mampu mempercepat pelaksanaan di semua peringkat.

Dalam usaha memperluas penyertaan dan memperlihatkan komitmen negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menyediakan Pavilion Malaysia di COP31 yang bertemakan ‘Climate Action Now: Driving Resilient Growth’.

Sebanyak 49 program melibatkan tujuh kluster utama dilaksanakan menerusi kerjasama rentas kementerian, kerajaan negeri dan rakan strategik. Inisiatif ini menjadi ruang untuk mengetengahkan usaha, kepakaran serta potensi Malaysia dalam memperkukuh tindakan iklim dan pembangunan mampan.

Menariknya, pandangan beberapa tokoh dalam sektor tenaga dan teknologi hijau Malaysia yang ditemui sepanjang persidangan turut memperlihatkan bahawa peralihan tenaga hijau bukan semata-mata satu keperluan alam sekitar, malah berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun, peluang tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya kita berani mempercepat tindakan dan tidak terlalu lama terperangkap dalam peringkat perancangan serta pengumuman komitmen.

Hakikatnya, kejayaan agenda iklim tidak boleh diukur melalui jumlah deklarasi, persidangan atau sasaran yang diumumkan. Ukuran sebenar ialah sejauh mana usaha tersebut berjaya mengurangkan pelepasan, meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap bencana iklim, melindungi biodiversiti dan menyediakan kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang.

COP31 seharusnya menjadi titik perubahan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, merapatkan jurang pelepasan dan memastikan pembiayaan serta teknologi iklim dapat diakses secara lebih adil.

Malaysia akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam usaha ini, dengan memastikan agenda kelestarian alam bergerak seiring keperluan pembangunan negara.

* Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!