Premium tanah KLSCAH: Budi bicara atau layanan istimewa?

SEWA dewan utama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) diiklankan pada kadar RM5,900 bagi tempoh empat jam pada hujung minggu atau cuti umum.
Bagi pembaharuan pajakan tanah sehingga 99 tahun, kerajaan menetapkan premium RM1,000, kira-kira 99.98 peratus lebih rendah daripada anggaran terdahulu RM4.67 juta.
Kadar sewaan itu menunjukkan premis warisan berkenaan berpotensi menjana hasil.
Persoalannya, bagaimana kerajaan mengambil kira potensi pendapatan tersebut ketika meluluskan premium serendah itu?
Iklan KLSCAH menunjukkan dewan utama berkapasiti kira-kira 1,000 orang untuk majlis jamuan, dengan kadar RM4,600 bagi empat jam pertama pada hari bekerja dan RM5,900 pada hujung minggu atau cuti umum. Penyata Kumpulan Wang Am KLSCAH turut merekodkan hasil sewaan.
Pada 2024, KLSCAH mencatatkan RM309,350 daripada sewaan dewan, RM121,990 daripada sewaan bilik mesyuarat dan RM230,650 di bawah butiran lain berlabel Rental income.
Jumlahnya RM661,990, bersamaan kira-kira 32 peratus daripada keseluruhan pendapatan dana berkenaan. Tiga butiran sama menjana RM641,150 pada 2023. Caj parkir pula menyumbang RM124,800 pada 2024.
Hannah berkata, pertukaran kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi menutup ruang pembangunan kondominium atau pusat beli-belah. KLSCAH turut merayu atas alasan status warisan dan kedudukannya sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.
Namun, pertubuhan berstatus bukan berasaskan keuntungan masih boleh mengenakan bayaran dan menggunakan lebihan pendapatan untuk tujuan penubuhannya. RM661,990 itu merupakan hasil sewaan kasar yang wajar diambil kira ketika menilai kemampuan kewangan KLSCAH serta nilai penggunaan premis berkenaan.
Hannah perlu menjelaskan sama ada aktiviti sewaan boleh diteruskan di bawah syarat hak milik baharu, apakah had yang dikenakan dan sama ada sebahagian hasil wajib diperuntukkan bagi tujuan pemuliharaan.
Hannah turut menyebut defisit operasi bangunan sekitar RM400,000 setahun akibat kos penyelenggaraan, keadaan struktur dan keperluan naik taraf.
Namun, penyata Kumpulan Wang Am 2024 merekodkan pendapatan RM2,054,438, perbelanjaan RM2,070,933 dan defisit sebelum cukai RM16,495, selepas mencatatkan lebihan sebelum cukai RM886,930 pada 2023.
Pada akhir 2024, tunai, baki bank dan deposit tetap berjumlah RM2,542,843. Angka bagi dana am dan operasi bangunan mungkin merangkumi skop serta tempoh yang berbeza.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, meminta penyata kewangan beraudit yang menyokong angka menteri. Hannah perlu menyatakan tahun yang dirujuk, memperincikan hasil dan kos bangunan serta menjelaskan bagaimana defisit berkenaan mempengaruhi keputusan penetapan premium.
Lima tuntutan Ahli Parlimen BN
“Jangan berselindung di sebalik budi bicara,” kata Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, bagi pihak Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 17 November.
Mereka mahu formula, pekeliling dan minit kelulusan diterbitkan, bersama asas penilaian selepas perubahan kegunaan tanah.
Mereka turut meminta had sewaan komersial serta mekanisme tuntutan balik sekiranya syarat dilanggar, bukti bahawa institusi lain boleh mendapat pertimbangan setara dan alasan pemberian pajakan 99 tahun sedangkan pajakan asal masih berbaki lapan tahun.
Apabila rakan dalam kerajaan sendiri meminta dokumen berkenaan, respons Hannah yang menyifatkan pertikaian ini sebagai permainan kaum semakin sukar dipertahankan.
Menurut Hannah, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberimilikan semula pada 14 September. Surat kelulusan bertarikh 1 Oktober menetapkan premium RM1,000.
Bayaran awal berjumlah RM5,011, termasuk cukai tanah tahun pertama dan caj pentadbiran, manakala cukai tanah tahunan ditetapkan RM3,151.
Berapakah premium yang sepatutnya dikenakan bagi kegunaan institusi sebelum sebarang remisi, jika remisi memang diberikan?
Akmal turut bertanya, “Apakah hak pembangunan yang masih ada sebelum pertukaran status itu, dan apakah yang sebenarnya dilepaskan?”
Bangunan berkenaan diiktiraf sebagai warisan sejak 2007. Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan pengurangan itu sebagai “amat tidak munasabah”.
Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin, dan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal, pula mahu mengetahui sama ada kadar RM1,000 itu hasil penilaian baharu, remisi khas atau gabungan kedua-duanya.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi, meminta garis panduan rasmi supaya institusi warisan dan kebajikan daripada semua komuniti boleh memohon pertimbangan yang sama.
Asas penilaian dan kuasa budi bicara
Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Hamid, yang menulis menerusi Facebook Pena Celoreng, bertanya, “Kalau angka itu betul, bagaimana tiba-tiba boleh menjadi RM1,000?”
Beliau menerima bahawa perubahan kegunaan tanah boleh menurunkan nilainya. Namun, beliau mahu kerajaan menerbitkan asas penilaian awal dan baharu serta menjelaskan sama ada badan kebajikan, persatuan veteran dan institusi warisan lain boleh dipertimbangkan berdasarkan kriteria yang sama.
Dalam laporan Sinar Harian pada 18 November, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata penilai perlu mengambil kira lokasi, keluasan tanah, tempoh pajakan dan sekatan pembangunan.
Katanya, dewan warisan masih boleh digunakan untuk seminar, persidangan atau sewaan ruang, tertakluk kepada syarat tanah, kelulusan dan kewajipan pemuliharaan.
Surat kelulusan dan dokumen hak milik baharu diperlukan untuk mengesahkan perlindungan yang benar-benar dikenakan dalam kes KLSCAH.
Dalam laporan sama, Dr Mohd Muzzammil Ismail menggesa pengiraan, penilaian profesional dan kriteria kelulusan didedahkan.
Pemerhati hartanah, Wan Amirul Hafiz Wan Ali, pula menegaskan tanah yang kehilangan potensi pembangunan komersial masih mempunyai nilai ekonomi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kampung tradisional Melayu, rumah ibadat dan institusi warisan lain akan mendapat pertimbangan setara sekiranya pemuliharaan dijadikan asas pemberian premium nominal.
“Tanah kerajaan adalah tanah rakyat. Pemimpin kerajaan hanya melaksanakan amanah rakyat,” tulis pakar perundangan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof dari UTM, dalam ulasan Facebook bertajuk “Premium tanah: tak perlulah berdolak dalih”.
Beliau merujuk kepada kadar 50 atau 25 peratus daripada nilai tanah dalam formula bagi kategori tertentu di Kuala Lumpur.
Pada pandangannya, jika kerajaan menggunakan budi bicara untuk menetapkan kadar nominal, keputusan itu mesti telus, adil dan konsisten.
Beliau mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi prinsip tersebut boleh menimbulkan persoalan mengenai salah guna kuasa.
Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995 mempunyai formula berbeza mengikut kategori dan jenis urusan.
Kaedah 10 membenarkan kerajaan meremit sebahagian atau keseluruhan premium atau mengubah kadar yang ditetapkan di bawah Kaedah 8 dan 9.
Pindaan 2023 pula memperkenalkan formula khusus di bawah Kaedah 8A bagi pelanjutan mengikut seksyen 90A Kanun Tanah Negara. Hannah menyatakan urusan KLSCAH diluluskan melalui penyerahan dan pemberimilikan semula.
Kerajaan patut menyatakan peruntukan yang digunakan dalam kes ini, premium yang terhasil daripada formula berkenaan serta alasan bertulis bagi apa-apa remisi.
Desakan semakan bebas dan layanan setara
Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin pula menggesa kerajaan menerbitkan asas penilaian dan melaksanakan semakan bebas oleh pihak yang tidak terlibat dalam kelulusan asal.
Sayap parti itu turut menuntut dasar pajakan yang seragam, akses kepada pertimbangan setara untuk institusi yang layak serta syarat pemuliharaan yang boleh dikuatkuasakan.
“Keadilan dalam pentadbiran tanah tidak boleh bergantung kepada kemampuan sesebuah institusi memperoleh perhatian pimpinan tertinggi negara,” tegasnya dalam kenyataan bertarikh 16 November.
Datuk Mohd Adhan Kechik, dalam ulasannya di Berita Harian, meminta kerajaan memperincikan syarat penggunaan tanah serta pihak yang akan memastikan kerja pemuliharaan dilaksanakan.
Datuk Seri Dr Amir Hussien daripada Parti Wawasan Negara mahu kesan aktiviti sewaan berbayar terhadap penetapan premium nominal dijelaskan. Tun Fiqa Mohammad daripada parti sama pula bertanya, “Since when did a deficit become a valuation methodology?”
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, menuntut kriteria yang turut terpakai kepada institusi warisan lain.
DHPP Wilayah Persekutuan menekankan layanan setara, manakala Perkasa meminta jaminan pertimbangan adil untuk institusi warisan Melayu. Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula mahu proses kelulusan dan pengurusan hasil sewaan diperjelas.
Dr Armin Baniaz Pahamin daripada Sekretariat Tanahair bertanya apakah pulangan yang boleh diukur oleh rakyat. Persoalan itu wajar dijawab melalui syarat yang boleh disemak, termasuk akses awam dan rekod perbelanjaan untuk pemuliharaan.
Gerakan Pembela Ummah (Ummah) turut menyatakan kekesalan terhadap keputusan itu. Dalam kenyataan yang ditandatangani Dr Kamaruzaman Yusoff, Ummah mempersoalkan sama ada kadar berkenaan ditetapkan mengikut dasar pentadbiran tanah sedia ada atau melalui pengecualian.
Ummah juga menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan mendedahkan kriteria serta alasan kelulusan supaya rakyat dapat menilai keputusan berkenaan dan membandingkannya dengan keputusan dalam kes serupa pada masa hadapan.
Teguran penyokong kerajaan dan kesan kepada PKR serta Amanah
Norman Daud, seorang penyokong kerajaan, memberi amaran, “Tanpa penerangan teknikal yang jelas dari awal, keputusan itu mudah dilihat sebagai layanan istimewa atau pilih kasih.”
Dalam ulasan berasingan, Dr Faiz Ramli mengingatkan bahawa “setiap tindakan satu parti akan memberi kesan kepada parti yang lain”.
Beliau menjangka PKR dan Amanah sekali lagi perlu mempertahankan keputusan kerajaan di hadapan pengundi Melayu, termasuk pengundi atas pagar yang cuba diyakinkan oleh kedua-dua parti.
Keputusan PRN Melaka pada 14 November menunjukkan betapa berat tugas itu. BN menang 21 daripada 28 kerusi, PN tiga dan PH empat. Kesemua empat kerusi PH dimenangi DAP. PKR dan Amanah gagal memenangi satu kerusi pun.
Apabila Hannah memilih untuk menyerang motif pengkritik, kedua-dua rakan gabungannya pula perlu menjelaskan kepada pengundi mengapa kerajaan yang berjanji memperkukuh tatakelola belum menunjukkan asas pengiraan premium berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri, menurut Hannah, meminta isu tanah KLSCAH diselesaikan selepas lawatannya pada 17 Februari. Oleh itu, tanggungjawab menjawab persoalan ini turut sampai ke meja Perdana Menteri.
Terbitkan ringkasan penilaian sebelum dan selepas pertukaran kegunaan, alasan bertulis bagi premium RM1,000 serta syarat pajakan yang mengawal sewaan dan mewajibkan pemuliharaan. Terbitkan juga kriteria yang membolehkan institusi warisan dan komuniti lain memohon pertimbangan setara.
Hannah dan DAP boleh mengabaikan teguran ini atas risiko sendiri. Lihat siapa yang sudah mempersoalkan keputusan itu. Ahli akademik, Ahli Parlimen BN, Pemuda Pas, DHPP, Wawasan, pengamal undang-undang dan hartanah serta penyokong kerajaan sendiri semuanya menuntut penjelasan.
Selagi asas premium RM1,000 belum diterbitkan, PKR dan Amanah-lah yang akan menanggung kos politiknya. Apabila pengundi Melayu bertanya sama ada institusi warisan lain boleh mendapat layanan setara, kedua-dua parti itulah yang perlu turun padang dan menjawab.
PKR dan Amanah masih boleh mendesak penjelasan terbuka daripada kerajaan yang mereka sendiri anggotai. Tepuk dada, tanya selera.
Jika kerajaan terus menganggap bantahan ini boleh diabaikan, tunggu sahaja bagaimana kemarahan ini akan diterjemahkan kepada undi dalam pilihan raya nanti.
*Mohd Afifi Abdul Razak ialah felo Future Research
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
