Bulan November: Sambutan Bulan Kualiti Dunia yang perlu diraikan masyarakat

PADA setiap minggu kedua bulan November pada saban tahun, warga masyarakat dunia akan sentiasa meraikan sambutan Bulan Kualiti Sedunia (World Quality Month) yang bermatlamat untuk sama-sama meningkatkan kesedaran tentang peranan penting aspek kualiti dalam memastikan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi, industri, dan negara. Pada tahun ini, tema yang diangkat untuk dihayati oleh warga masyarakat adalah “Kualiti: Memacu Prestasi”.
Tema ini sebenarnya mengajak organisasi atau warga pekerjanya untuk beralih daripada menganggap elemen kualiti ini sekadar satu proses "insurans" atau semakan piawaian sahaja, kepada perspektif baharu iaitu aspek pemacu strategik prestasi. Hal ini disebabkan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang kukuh boleh membantu untuk mengurangkan kesilapan, kelewatan, pembaziran, ketidakpatuhan dan kerja yang berulang (rework). Penumpuan kepada prestasi amat dititikberatkan agar organisasi sentiasa berdaya saing dan negara menujun ke arah produktiviti berprestasi tinggi menjelang tahun 2030 nanti.
Sehubungan dengan itu, Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang dilaksanakan dalam sesebuah organisasi atau syarikat lazimnya tampak cukup baik dan berkesan. Istilah kualiti sering dicirikan sebagai suatu usaha memenuhi kehendak dan kepuasan pelanggan; memperoleh pensijilan yang standard, meningkatkan produktiviti serta menarik pelanggan yang baharu; memastikan produk atau perkhidmatan yang dihasilkan sesuai dengan kegunaannya dan boleh digunakan; serta kompetitif tanpa sebarang kecacatan.
Kualiti juga dikaitkan dengan kepatuhan terhadap kehendak-kehendak tertentu yang berupaya membentuk imej serta dapat melakukan penambahbaikan yang berterusan.
Malah, produk atau perkhidmatan yang berkualiti dianggap menghampiri sifat kesempurnaan yang merupakan nilai-nilai sarwajagat dan diterima umum. Begitu juga matlamat untuk mencapai yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan serta saling bekerjasama antara ahli organisasi untuk mencapai matlamat tersebut.
Di samping sikap istiqamah (komitmen) untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti, terdapat aspek yang penting bagi memastikan sesebuah syarikat berdaya saing pada masa akan datang iaitu penekanan kepada program-program yang memberikan kepuasan pelanggan seperti contoh ‘Perkhidmatan Selepas Jualan’ yang dapat meyakinkan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan masa kini dan kelestariannya pada masa akan datang.
Selain itu, istilah kualiti turut disamaertikan dengan istilah-istilah yang merujuk kepada kebaikan dan kecemerlangan dalam al-Qur’an dan juga Hadith. Antaranya konsep kualiti sering dirujuk sebagai Hasanat, Toyyibat, al-Khairat dan al-Ma‘ruf yang diungkapkan dalam ayat-ayat al-Qur’an. Seumpamanya dalam Surah al-An’am, ayat 160; Surah al-A’raf, ayat 156; Surah Hud, ayat 114; Surah al-Baqarah, ayat 267; Surah al-Nisa’, ayat 160; Surah Ali-‘Imran, 114; dan Surah al-A’raf, ayat 157.
Adapun istilah al-Itqan (kesempurnaan) turut dilafazkan secara khusus dalam Hadith Rasulullah SAW daripada Saidatina ‘Aishah RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqan atau bersungguh-sungguh (sempurna).” (Hadith diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi RA)
Manakala konsep memenuhi kehendak pelanggan pula disama ertikan dalam ajaran Islam dengan konsep menunaikan hajat terhadap makhluk atau insan lain. Sehubungan itu, terdapat pemikir-pemikir pengurusan Islam yang berpandangan bahawa konsep kualiti yang berpusatkan pencapaian kesempurnaan dalam penghasilan produk dan penawaran perkhidmatan adalah seiring dengan penciptaan kejadian-kejadian dunia yang dilakukan penuh dengan ciri-ciri kesempurnaan oleh Allah SWT.
Malah bagi memenuhi tujuan tersebut, ayat al-Quran berikut dijadikan sebagai sandaran dan panduan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk, ayat 3:
Maksudnya: “Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (Jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu) sekali lagi, Adakah dapat engkau melihat sebarang kecacatan.”
Sesungguhnya Sistem Pengurusan Kualiti yang berteraskan Islam (SPKI) hendaklah disebati dan diamalkan dalam kesemua organisasi yang inginkan kegemilangan. Jika sesebuah organisasi berhasrat mengeluarkan sesuatu produk atau memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggan, maka faktor kejayaannya adalah sistem pengurusannya yang berkualiti.
Bukan itu sahaja, sistem pengurusan juga perlu menepati dwi dimensi jasmani dan rohani demi hakikat kebahagiaan (al-Falah) di dunia dan akhirat seperti yang dijelaskan oleh Syariah Islam melalui perinciannya dalam hukum-hukum ilmu Fiqh termasuklah aspek Daruriyyat (keperluan asasi), Hajiyyat (keperluan biasa) dan Tahsiniyyat (keperluan keselesaan).
Rentetan itu, aspek kualiti bukan sekadar pematuhan terhadap piawaian teknikal atau pensijilan di tempat kerja. Dalam konteks kehidupan bermasyarakat, kualiti bermaksud melakukan sesuatu perkara dengan betul, beretika, dan bertanggungjawab sejak dari awal. Apabila setiap individu mengamalkan budaya kerja dan gaya hidup berkualiti, kesannya dapat dinikmati secara langsung oleh komuniti melalui persekitaran yang selamat, perkhidmatan yang cekap, serta keharmonian sosial yang mampan.
Oleh yang demikian, bersempena Bulan Kualiti Sedunia pada tahun ini maka setiap warga masyarakat perlulah bersiap siaga untuk berperanan sebaiknya bagi menilai semula sumbangan masing-masing dalam meningkatkan taraf hidup bersama melalui beberapa aspek utama:
(1) Aspek Pekerjaan: Seseorang penjawat awam, pekerja swasta, pada peringkat bawahan atau pengurusan tertinggi, mahupun penyedia perkhidmatan haruslah mempunyai prinsip "pelanggan diutamakan" dan penambahbaikan berterusan (kaizen) yang perlu menjadi pegangan dan budaya seharian. Produk yang selamat dan perkhidmatan atau layanan yang mesra mencerminkan integriti dan kualiti masyarakat tersebut.
(2) Aspek Kekeluargaan dan Pendidikan: Ibu bapa memainkan peranan asas dalam menerapkan nilai disiplin, kualiti, kejujuran, dan ketelitian kepada anak-anak di rumah. Pada peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi pula, pelajar atau mahasiswa perlu dididik untuk menghasilkan tugasan atau penyelidikan yang berkualiti, bermutu tinggi serta sentiasa menghargai masa dengan sebaiknya. Para Murabbi atau pengajar pula harus berperanan sebagai pendidik anak bangsa yang ingin melahirkan pemimpin masa hadapan, bukannya sekadar untuk menghabiskan silibus atau kursus semata-mata.
(3) Aspek Kepenggunaan yang Bijak: Sebagai pengguna pula, masyarakat berhak menuntut produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Kesedaran pengguna untuk menyalurkan maklum balas yang membina dan menolak barangan tiruan atau berbahaya akan mendorong industri dan syarikat untuk sentiasa meningkatkan hasilan produk serta piawaian mereka yang berkualiti tinggi. Elakkan daripada terlibat dengan barangan yang tidak berkualiti supaya pengguna tidak terjebak dengan gejala negatif yang merosakkan tubuh badan dan kesihatan secara keseluruhannya.
(4 ) Aspek Kelestarian Alam dan Komuniti: Kualiti hidup berkait rapat dengan kualiti persekitaran. Amalan menjaga kebersihan kawasan kejiranan, mengurangkan pembaziran sumber, sentiasa memelihara dan memulihara alam persekitaran serta mematuhi peraturan dan undang-undang adalah satu manifestasi masyarakat bertamadun yang mementingkan kualiti dan kegemilangan.
Secara tuntasnya, sambutan Bulan Kualiti Sedunia bukanlah sekadar acara simbolik yang diraikan di bilik-bilik mesyuarat, organisasi atau dewan seminar. Hakikatnya adalah seruan untuk membina minda kelas pertama dalam kalangan masyarakat bertamadun dalam negara bertuah ini.
Apabila setiap warga komuniti menjadikan aspek kecemerlangan, kualiti dan integriti sebagai budaya seharian, maka negara bukan sahaja mampu bersaing di persada antarabangsa, malah dapat menjamin masa depan yang lebih sejahtera untuk kelestarian generasi masa akan datang. Warisilah pusaka negara ini kepada pewaris bangsa kita dengan sempurnanya.
*** Prof. Dr. Hj. Hasan Al-Banna Datuk Paduka Mohamed ialah Penolong Naib Canselor (Pengurusan Data dan Kualiti), merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO) dan Pengurus Kualiti,Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
