X

Kindly register in order to view this article
!

28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso: PM

Muhyiddin menyampaikan sijil, trofi dan replika cek sebagai anugerah wira belia Covid-19 kepada orang kurang upaya (OKU) tanpa tangan, Norfarrah Syahirah Shaari dari Perak pada majlis Perasmian Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini. -Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menganggarkan seramai 28,425 pekerja ekonomi gig telah berdaftar dengan Pertubuhan Kesihatan Sosial (Perkeso) sejak 1 Januari lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut tujuh peratus daripada 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini.

Beliau berkata, perkembangan berkenaan membawa kepada kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi pelancaran program Gig pada 23 Jun lalu yang menyaksikan penyertaan seramai 348 belia dalam myGIG Servis dan 522 belia dalam myGIG Digital Freelance.

"Mengambil kira perkembangan semasa ekonomi gig ini, di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan melindungi kebajikan pekerja dalam sektor ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha.

Selain itu Muhyiddin memuji usaha KBS melaksanakan gerak kerja membangunkan myBELIA yang membolehkan golongan itu membuat carian maklumat berkaitan pelbagai inisiatif dan insentif yang ditawarkan kerajaan atau bukan kerajaan secara bersepadu merentas agensi pelaksana hanya dengan satu klik.

Jelasnya, hanya satu klik, belia boleh mendapatkan maklumat merangkumi peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, latihan dan kemahiran, dana serta kemudahan.

"Saya melihat usaha KBS memperkenalkan myBELIA tepat pada masanya. Walaupun keseluruhan sistem ini hanya boleh digunakan pada tahun hadapan, sebagai permulaan ke arah platform one stop center tersebut, pendekatan KBS untuk mengintegrasikan data tersebut di bawah pautan sistem e-belia dan siap sedia dilayari pada hari ini adalah sesuatu yang positif," katanya.

Perdana Menteri berkata, peranan belia yang turut membudayakan hasrat kerajaan untuk rakyat mengamalkan norma baharu mendorong kepada peningkatan penggunaan platform digital dalam perniagaan.

"Daripada sekadar untuk berkomunikasi, belia dapat memanfaatkannya untuk menjana pendapatan. Ini telah membuka peluang kepada sektor industri yang menjana manfaat jangka pendek seperti industri e-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, peranan golongan itu penting kerana berdasarkan statistik tahun lalu, belia mewakili 46.8 peratus atau bersamaan 15.25 juta daripada jumlah keseluruhan 32.6 juta penduduk negara ini.

"Hampir separuh penduduk Malaysia merupakan golongan belia dan tentunya sangat signifikan dan mempengaruhi setiap aspek perancangan pembangunan negara," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!