Kadar pengangguran menurun, tanda awal ekonomi makin pulih

Muhyiddin ketika berucap pada program Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini.
Muhyiddin ketika berucap pada program Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kadar pengangguran telah mula menurun hasil keputusan kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berperingkat.

Katanya, menurut statistik terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di negara ini secara umumnya menurun 4.9 peratus sehingga Jun lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei lalu.

"Kadar pengangguran belia sehingga Jun lalu juga menurun iaitu bagi belia berumur antara 15 hingga 30 tahun kadar pengangguran 9.7 peratus berbanding Mei iaitu 10 peratus.

"Bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pula, kadar pengangguran ialah 13.1 peratus sehingga Jun berbanding Mei iaitu 14.2 peratus.

"Alhamdulillah ini merupakan tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan mula menampakkan hasil. Kita perlu terus berdoa dan berusaha untuk memastikan golongan belia turut bersama-sama berada di landasan pemulihan ekonomi negara seperti yang dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

Muhyiddin berkata, pihaknya faham dan mengambil serius kebimbangan dibangkitkan belia yang sedang bekerja namun risau akan dibuang kerja atau hilang pekerjaan, belia yang sedang menanti untuk memasuki alam pekerjaan dan usahawan belia termasuk golongan muda yang menganggur.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin menyampaikan Anugerah Khas kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew pada program Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini.
Muhyiddin menyampaikan Anugerah Khas kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew pada program Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini.

Secara rasionalnya kata beliau, belia kini resah berhadapan dengan dilema cabaran ekonomi untuk mendapatkan pekerjaan.

"Justeru, dalam usaha menangani isu ini, selain daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, kerajaan turut memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang memberikan manfaat kepada golongan belia terutama belia B40 dan M40," katanya.

Kerajaan juga katanya, telah memperuntukkan RM2 bilion merangkumi program latihan dan penempatan serta pelaksanaan kursus jangka pendek.

"Program ini memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran atau upskilling, latihan semula atau reskilling dan kemahiran silang atau cross-skilling dalam pelbagai bidang pekerjaan.

"Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas inisiatif daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menggunakan pendekatan perantisan menerusi pelaksanaan program Skim Perantisan Nasional atau SPN bagi menyokong inisiatif Penjana. Pendekatan KBS ini mampu membantu melonjakkan kebolehpasaran belia dan menyediakan lebih banyak peluang kepada belia mendapatkan pekerjaan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau difahamkan program SPN juga sebahagian daripada inisiatif kolaboratif antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya dengan menyasarkan penyertaan perantis daripada kalangan graduan dan belia lepasan sekolah.

"Saya melihat kolaboratif antara kementerian ini sebagai satu gerak kerja yang memberi manfaat kepada belia secara keseluruhannya. Terima kasih juga kepada syarikat-syarikat swasta yang mengambil bahagian dalam menjayakan program ini," ujarnya.