Agihan kerusi PN sudah 50 peratus, kata Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG – Proses pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) melibatkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini sudah melepasi 50 peratus.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat secara berperingkat dan setakat ini pembahagian di beberapa negeri sudah pun selesai.

“Kita tidak ada tarikh lagi (bila akan selesai), kita tetapkan peringkat demi peringkat dan kini prosesnya sudah lebih 50 peratus.

“Calon dan kawasan belum pasti kerana kita mahu pastikan akan menang seberapa banyak kerusi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan secara dalam talian di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, PN juga bersedia untuk menghadapi PRU15 sekiranya ia diadakan secara mengejut pada bila-bila masa.

Menurut Abdul Hadi, bagi meneguhkan kerajaan PN mandat harus diberikan secara langsung kepada rakyat dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan prestasi, kaji selidik serta tindak balas rakyat.

“Kita bersedia (hadapi PRU) bila-bila masa. Perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat, sekarang ini kita dapat mandat daripada wakil rakyat.

“Ahli Parlimen pilihan rakyat telah membuat persetujuan sehingga kita mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan PN, jadi supaya kerajaan lebih teguh perlu kepada mandat secara langsung daripada rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Marang itu, penggunaan logo parti dalam PRU15 belum dibincangkan dan ia akan ditetapkan selepas mendapat persetujuan daripada PN berdasarkan Muafakat Nasional.

“Logo belum bincang lagi, kita mulakan dengan pembahagian kerusi dulu,” katanya.

Sebelum ini, sayap Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar logo Barisan Nasional (BN) digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu turut dipanjangkan kepada parti yang bukan komponen BN secara rasmi iaitu Pas dan Bersatu.

Menurut beliau, cadangan itu perlu dipertimbangkan kepimpinan kanan parti yang terlibat bagi menunjukkan kesepakatan dan memastikan pertandingan satu lawan satu bagi Parlimen dan DUN.