Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 akan dipinda

Hasnol Zam Zam pada sidang media selepas sesi perbincangan meja bulat bersama industri jualan langsung di KPDNHEP, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Hasnol Zam Zam pada sidang media selepas sesi perbincangan meja bulat bersama industri jualan langsung di KPDNHEP, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (AJLSAP 1993) akan dipinda antaranya mencadangkan tempoh masa atau ‘cooling-off period’ bagi sesuatu barang harus dihantar ke pelanggan yang lebih pendek berbanding tempoh 10 hari sekarang.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, semakan semula akta itu yang kali terakhir dibuat pada 2011 adalah antara saranan yang dikemukakan pemain industri jualan langsung dalam sesi meja bulat bersama kementerian itu di sini hari ini.

"Semakan semula ini akan melalui proses konsultasi, bengkel, dialog awam dan sebagainya dan kementerian berharap akan menghasilkan satu akta yang responsif, dinamik serta bersesuaian dengan keperluan semasa yang dihadapi industri ini," katanya pada sidang akhbar selepas sesi meja bulat itu.

Sehingga Julai 2020 katanya, sebanyak 423 lesen jualan langsung telah dikeluarkan oleh KPDNHEP meliputi penjagaan kesihatan (47 peratus), penjagaan diri dan kosmetik (19 peratus), peralatan perumahan (16 peratus), pakaian dan aksesori (lima peratus), makanan dan minuman (lapan peratus), penjagaan dan kelengkapan rumah (tiga peratus) dan buku, alat tulis serta alat mainan (dua peratus).

Menurut laporan World Federation of Direct Selling Association (WFDSA), Malaysia dalam aktiviti jualan langsung kini menduduki tangga ketujuh di dunia dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM18.7 bilion dan tangga keempat bagi rantau Asia Pasifik pada tahun lepas, katanya.

Hasnol Zam Zam berkata, KPDNHEP sentiasa melaksanakan aktiviti penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan dalam kalangan peniaga dan kementerian tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen syarikat yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang.

Menurutnya, sebanyak 34 syarikat jualan langsung telah dibatalkan lesen kerana terbabit dengan aktiviti yang menyalahi AJLSAP 1993 termasuklah menjalankan perniagaan berunsurkan skim piramid seperti mempromosikan skim melalui perekrutan peserta atau money game.

Hasnol Zam Zam berkata, pandangan semua pihak akan dikumpulkan dalam tempoh enam bulan sebelum proses merangka draf undang-undang pindaan AJLSAP dimulakan pada suku pertama 2021 bagi membolehkan ia dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: