'Jualan Rahmah Bergerak mampu bendung kenaikan harga barang'

Fuziah Salleh - Foto fail/Bernama
Fuziah Salleh - Foto fail/Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sejumlah 6,400 Jualan Rahmah Bergerak di seluruh negara yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai dan pada masa sama, membendung kenaikan harga barangan keperluan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pihaknya percaya Jualan Rahmah Bergerak, yang diadakan dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), mampu memberi tekanan kepada pemain industri bagi mematuhi harga yang ditawarkan semasa jualan itu.

Beliau berkata, kenyataan harga barangan keperluan akan meningkat hingga 20 peratus bulan depan datangnya daripada pihak industri dan bukan kerajaan.

"Kita kena sedar bahawa industri ini memanglah tujuan mereka untuk meraih keuntungan, jadi sebab itu saya nasihatkan rakyat jangan panik, saya juga minta pengguna bertenang, pihak kerajaan akan buat apa yang patut bagi memastikan harga barangan tidak meningkat, contohnya kita adakan Jualan Rahmah dan Jualan Rahmah Bergerak, ini kita nak bantu pengguna dengan lebih murah berbanding pasaran.

"Kalau ikut teorinya, mereka yang berada di pasaran akan berasa tertekan untuk mengikut harga jualan yang ditetapkan oleh Jualan Rahmah dan Jualan Rahmah Bergerak iaitu barangan keperluan dijual 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran malah hari ini, sudah ada pengumuman pihak industri yang mahu ayam segar dijual pada harga RM8.25 sekilogram berbanding RM9.40 sekarang, itu adalah respons kepada Jualan Rahmah, kita yang menjual seekor RM10 sahaja," katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.

Fuziah berkata demikian kepada pemberita selepas Jualan Rahmah Bergerak sempena pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 di pekarangan Masjid Al Hidayah di Kuala Muda, Penaga, di sini.

Bendera kebanggaan negara Jalur Gemilang akan dibawa menjelajah sejauh 3,347 kilometer ke seluruh pelosok negara oleh KMJG 2023, yang bermula di Ipoh pada Ahad serta berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata, konvoi itu akan membawa Jalur Gemilang menjelajah seluruh negara menerusi 'Penyerahan Jalur Gemilang.'

Beliau berkata, konvoi itu melibatkan 132 tempat pemeriksaan iaitu 66 di Semenanjung Malaysia dan 66 lagi di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Fuziah juga berkata, Jualan Rahmah Bergerak berkonsepkan kedai cari rakyat mendapat sambutan mengalakkan daripada pengguna malah mereka meminta supaya ia lebih kerap diadakan kerana memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan.

Katanya, sejak dilancarkan bulan lepas, sebanyak 131 Jualan Rahmah Bergerak diadakan dan lebih sejuta pengguna mendapat manfaat dengan jualan melebihi RM30,000 bagi setiap program. - Bernama