Mengamuk kerana mi segera

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengamuk hanya disebabkan mi segera kegemarannya kehabisan 'stok', di rumahnya di Kuala Ibai, di sini, pada Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, suspek berusia 32 tahun itu naik hantu apabila sanggup mengugut mahu membakar rumah dan mahu menumbuk ibunya yang berusia 57 tahun.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek yang juga seorang penganggur mahu makan mi segera sebelum meminta mangsa memasak mi segera kegemarannya.

"Bagaimanapun, mangsa memaklumkan mi segera sudah kehabisan stok di rumah menyebabkan suspek mengamuk.

"Suspek yang tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa naik angin dan mengugut mahu menumbuk mangsa.

"Suspek turut mengugut mahu merosakkan televisyen dan membakar rumah mereka," katanya.

Jelas sumber, difahamkan, kejadian seumpama itu sudah banyak kali berlaku dan suspek memang selalu mengugut mahu membakar rumah sekiranya mengamuk.

"Mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan diterima, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan di rumah kira-kira jam 3.20 petang semalam," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tiga hari sehingga Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.