Agenda pemusnahan Masjid Al Aqsa

A
A
A

PADA 21 Ogos 1969, Masjid Al Aqsa dibakar oleh seorang penganut Kristian berasal daripada Australia, namun setelah ditangkap dan disiasat, mahkamah Israel memutuskan dia tidak siuman dan dibebaskan.

Lanjutan daripada itu, sidang khas diadakan dalam kalangan negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang ditubuhkan pada tahun sama.

Pada tahun ini, genap 51 tahun peristiwa itu berlalu. Akan tetapi agenda untuk memusnahkan Masjid Al Aqsa oleh Zionis Yahudi tetap berterusan sehingga hari ini.

Beberapa catatan langkah Yahudi berusaha untuk memusnahkan Masjid Al Aqsa dapat dilihat dalam sejarah, malah sebelum peristiwa pembakaran itu lagi, pada tahun 1967 setelah Perang Enam Hari, tentera Yahudi menceroboh ke dalam masjid suci itu.

Memang Zionis sudah lama merencana merobohkan Masjid Al Aqsa dan Haram Al Sharif. Kerajaan Israel secara rasmi mengisytiharkan akan membina Kuil Ketiga di atas tapak Masjid Al Aqsa.

Puak Zionis banyak yang digelar gila kerana kebanyakan mereka tidak percaya wujudnya Tuhan tetapi menganggap Tuhan menjanjikan mereka tanah suci dan mereka mendakwa berhak meruntuhkan Masjid Al Aqsa untuk mendirikan kuil Yahudi.

Projek terowong Zionis yang digali di bawah masjid bertahun-tahun sehingga sekarang atas alasan kajian arkeologi pada hakikatnya adalah untuk melemahkan fondasi masjid yang bakal runtuh jika penggalian terowong diteruskan. Menteri Perumahan dan Pembangunan Israel, Uri Ariel terang-terangan mengisytiharkan rancangan memusnahkan Masjid Al Aqsa bagi mendirikan Kuil Ketiga Yahudi itu.

Yahudi menganggap mereka bangsa terpilih. Oleh itu, manusia dan penganut agama lain tidak dipedulikan. Inilah yang mengingatkan peristiwa pendatang haram berasal Australia, Denis Michael Rohan membakar minbar Al Aqsa yang merebak memusnahkan sebahagian masjid tersebut. Memusnahkan tempat suci agama selain agama Yahudi dianggap tidak bermasalah bagi golongan Yahudi malah dianggap perlu.

Artikel Berkaitan:

Harus diingat bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pernah menceroboh masuk ke dalam Masjid Al Aqsa pada 28 September 2000 diiringi beratus tentera Zionis bersenjata lengkap. Ariel Sharon mati pada 6 Januari 2014 setelah koma selama lapan tahun sejak tahun 2006.

Bina

Masjid Al Aqsa adalah suci buat umat Islam. Ia merupakan adalah kiblat pertama sejak berlaku peristiwa Israk Mikraj. Baitul Maqdis di mana Masjid Al Aqsa didirikan itu dibebaskan daripada penakluk Kristian oleh Umar Al Khattab pada 637 M, kemudian ditakluk semula oleh tentera salib pada 1099 dan seterusnya dibebaskan semula oleh Salehuddin Al Ayubi pada 1187.

Minbar Salehuddin Al Ayubi itulah yang telah dibakar oleh Rohan yang dianggap tidak siuman. Kini usaha pemusnahan Masjid Al Aqsa mahu disempurnakan oleh puak Zionis dengan pelbagai cara.

Bila OIC ditubuhkan sebagai respons kepada peristiwa 51 tahun lalu itu, malangnya ia gagal berfungsi mempertahankan hak umat Islam. Malah perpecahan dalam kalangan pemimpin Islam sedunia dalam OIC semakin terserlah. Lebih parah ada negara Arab kini menjadi budak dan hamba kepada Zionis untuk meluncurkan agenda pemusnahan Masjid Al Aqsa.

Inilah pengkhianat terbesar kepada umat Islam. Seluruh regim Arab tidak mampu menyelesaikan isu Palestin yang diceroboh sejak lebih 73 tahun lalu.

Regim Arab dilahirkan oleh British untuk mewujudkan entiti zionis di tengah-tengah rantau Arab. Sepatutnya pemimpin Arab menunaikan tanggungjawab membela Palestin, malangnya mereka lebih sibuk menyebarkan sentimen sektarianisme dalam kalangan ummah supaya Zionis boleh meneruskan agenda mereka.

Jelas mereka adalah rakan kepada jenayah yang dilakukan oleh Zionis. Seperti mana dikatakan oleh Perdana Menteri pertama Israel, David Ben Gurion, “Regim Arab adalah benteng pertahanan pertama bagi Israel.”

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu